Capaian Internet memuaskan di SK Ulu Entabai, SK Ng Ju, SK Ng Maong dan SK Ng Jambu

File photo depicting a smartphone.

KUCHING, 21 Nov: Capaian Internet bagi SK Ulu Entabai, SK Ng Ju, SK Ng Maong dan SK Ng Jambu di Meluan pada masa ini adalah memuaskan.

Menurut Timbalan Menteri Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Francis Harden Hollis, perkhidmatan Internet di sekolah-sekolah tersebut menggunakan perkhidmatan syarikat telekomunikasi yang telah dilantik.

“Prestasi perkhidmatan Internet di sekolah tersebut secara amnya adalah memuaskan.


“Bagaimanapun, perkhidmatan satelit kadangkala boleh terganggu akibat pelbagai faktor yang di luar kawalan seperti cuaca.

“Hanya SK Ng Ensiring yang tidak mendapat liputan Internet yang memuaskan,” kata Harden sebagai menjawab soalan Adun Meluan Roland Duat di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Setakat ini, tambah Harden, pihak sekolah boleh menggunakan ‘Internet-in-a-box’ melalui komputer Raspberry Pi yang disediakan oleh kementerian.

Katanya, Kementerian Pendidikan Malaysia akan berusaha untuk mendapatkan liputan di sekolah tersebut.

“Kementerian belum ada perancangan untuk pemasangan perkhidmatan Starlink kerana KPM masih mempunyai kontrak perkhidmatan dengan syarikat telekomunikasi sehingga 30 Jun 2024,” ujar Harden. — DayakDaily