Cadangan rangkaian jalan sempadan di Sarawak dalam pertimbangan kerajaan, kata Fadillah

Fadillah pada pergulungan perbahasan di sidang Parlimen hari ini.

Follow and subscribe to DayakDaily on Telegram for faster news updates.


KUCHING, 22 Sept: Kerajaan memasukkan cadangan rangkaian jalan sempadan di Sarawak bagi Kajian Semula Pelan Pembangunan Rangkaian Jalan Raya 2030 bagi Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Menteri Kerja Raya Dato Sri Fadillah Yusuf berkata, permohonan untuk melaksanakan kajian ini telah diangkat untuk pertimbangan Agensi Pusat dalam Rolling Plan 2, Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK12).

“Pelaksanaan bagi pembinaan rangkaian jalan sempadan ini kelak adalah bergantung kepada hasil dapatan kajian serta keutamaan projek dan keupayaan kewangan Kerajaan,” katanya.


Beliau berkata demikian pada pergulungan perbahasan di sidang Parlimen hari ini sebagai menjawab pertanyaan MP Batang Lupar Dato Sri Rohani Abdul Karim.

Menurut Fadillah, kementeriannya mengambil perhatian akan perancangan Kerajaan Indonesia untuk memindahkan ibu kota barunya ke Kalimantan.

Bagi menjawab pertanyaan MP Betong Datuk Robert Lawso Chuat berkaitan Kawasan Rehat dan Rawat(RSA) di sepanjang Projek Lebuhraya Pan Borneo, Fadillah berkata 3 kawasan RNR akan dibina sepanjang Projek Lebuhraya Pan Borneo.

Katanya, ia dibina di Jelukong, Sungai Basai dan Lambir.

“Pembinaan RSA dengan keluasan 10 ekar bakal membolehkan usahawan tempatan untuk menjana pendapatan dengan mengusahakan kemudahan kedai makan dan pasar tamu di kawasan tersebut,” kata Fadillah. — DayakDaily