Cadangan hantar kakitangan majlis tempatan, jabatan mengambil pengalaman di China

Dr Sim (dua dari kanan) menyampaikan sijil APC kepada penerimanya di Majlis Penyampaian APC 2018 dan Anugerah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2019.

KUCHING, Okt 24: Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan bercadang menghantar kakitangan majlis tempatan dan jabatan dibawahnya untuk berkhidmat sementara dengan majlis tempatan di China selama sebulan.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian berkata cadangan tersebut bertujuan membolehkan kakitangan terbabit dari negeri ini dapat mempelajari mengenai persaingan di China dan melihat sendiri perubahan negara itu.

“Saya baharu pulang dari Shandong (China), saya amat mahu menghantar setiap dari kamu (kakitangan majlis tempatan dan jabatan bawah kementeriannya) ke China bagi belajar mengenai persaingan dan melihat bagaimana China telah berubah,” katanya ketika Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2018 dan Anugerah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2019, di sini, hari ini.


Seramai 276 kakitangan Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Jabatan Pengaliran dan Saliran (JPS), Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dan 23 majlis tempatan menerima APC 2018 di majlis itu.

Majlis tersebut juga dihadiri Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Setiausaha Tetap Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Bakrie Zaini dan Datuk Bandar Kuching Selatan, Datuk Wee Hong Seng.

Dr Sim berkata ini boleh dilakukan kerana kerajaan Sarawak mempunyai hubungan baik dengan China dan sudah menandatangani sebanyak tiga perjanjian persahabatan dengan tiga wilayah di negara terbabit.

“Kita juga ada banyak perjanjian sama dengan bandar-bandar utama di China.Tolong gunakan peluang ini dan hantar pegawai kamu selama sebulan ke sana,” katanya.

Selain itu, beliau mendedahkan sebanyak 80 peratus aduan rakyat Sarawak kepada kerajaan negeri melalui talian Talikhidmat ketika ini adalah berkaitan perkhidmatan majlis tempatan di kawasan mereka.

“Aduan terbanyak melalui Telekhidmat atau 80 peratus aduan melalui Telekhidmat adalah adalah mengenai majlis tempatan. Sebab itu kamu (kakitangan majlis tempatan) adalah barisan hadapan (kepada kerajaan negeri),” katanya.

Dr Sim berkata sebagai barisan hadapan kerajaan negeri, pihaknya mahu kakitangan 23 majlis tempatan dan kakitangan JPS serta Jabatan Perkhidmatan Pembentungan dibawah kementerian itu sentiasa mengambil inisiatif untuk memberikan perkhidmatan cemerlang dan memenuhi kehendak rakyat yang sentiasa berubah sepanjang masa.

“Ini bermakna kamu (kakitangan majlis tempatan di Sarawak) mesti berkepimpinan, kamu mesti menjadi yang terbaik dengan sendiri,” katanya, sambil menggesa mereka untuk tidak menjadi kakitangan yang hanya akan bertindak setelah sudah diberikan arahan. — DayakDaily