KOTA SAMARAHAN, 18 Ogos: Petugas Sekatan Jalan Raya (SJR) di Kampung Baru, di sini berjaya membongkarkan cubaan menyeludup masuk dadah jenis syabu menggunakan khidmat penghanyar makanan.
Semasa kejadian beberapa anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik IPD Samarahan juga terlibat dalam penugasan di kampung tersebut yang dilaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).
Ketua Polis Daerah Kota Samarahan DSP Sudirman Kram berkata mereka didatangi seorang lelaki yang bekerja sebagai penghantar makanan dan kemudian menunjukkan satu bungkusan makanan untuk dihantar kepada seseorang di kampung tersebut.
Katanya, pemeriksaan dilakukan ke atas bungkusan tersebut dan hasilnya didapati didalamnya bungkusan berisi nasi tersebut terdapat juga lapan paket lutsinar berisi ketulan disyaki dadah jenis syabu.
“Sejurus selepas itu, seorang lelaki telah datang untuk menuntut bungkusan makanan berisi dadah tersebut telah diberkas di SJR tersebut.
“Penghantar makanan berusia 30 tahun tersebut turut ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Dadah dianggarkan seberat 20.00 gram itu juga dirampas untuk siasatan lanjut.
“Saringan air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah jenis Methamphetamine, manakala penghantar makanan didapati negatif dadah,” katanya.
Katanya kedua-dua suspek ditangkap di bawah Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan di lokap Balai Polis Kota Samarahan untuk siasatan lanjut. ā DayakDaily