Bulan Sabit Malaysia Sarawak sasarkan memiliki 6 ambulans di Kuching

Chai (dua dari kiri) memberi cenderahati kepada presiden City Joggers Club Chan Boon Teck selepas sidang media Larian Bagi Kemanusian 2019.

KUCHING, Sept 15: Bulan Sabit Malaysia (BSM) Sarawak mensasarkan memiliki sebanyak enam ambulans bagi memperluaskan perkhidmatan sukarelawannya di bandaraya ini.

Pengarahnya, Chai King Sing berkata ketika ini sukarelawan pertubuhan itu sudah ada sebanyak tiga ambulans yang beroperasi di daerah Kuching.

“Kami perlu sebanyak tiga ambulan lagi bagi bandar raya ini dan mensasar menambah satu ambulan kepada sukarelawan kami di bandar raya ini setiap tahun,” katanya ketika mengadakan sidang media Larian Bagi Kemanusiaan 2019 anjuran BSM Sarawak di sebuah hotel di sini, hari ini.


Chai berkata pihaknya sudah menempah satu ambulans yang lengkap peralatannya berharga RM300,000 bagi digunakan di bandar raya ini dan akan menerimanya tidak lama lagi.

Beliau berkata perkhidmatan ambulan pertubuhan sukarela tersebut lebih menerima kes pesakit yang memerlukan rawatan atau pemeriksaan di hospital tetapi tiada pengangkutan atau membawa pesakit telantar ke hospital.

“Ini berbeza dengan perkhidmatan ambulans pihak hospital yang lebih kepada kes kecemasan seperti kemalangan jalan raya,” katanya.

Selain itu, ambulans pertubuhan itu juga kerap digunakan sebagai persediaan kecemasan ketika adanya acara sukan sekolah, acara larian beramai-ramai dan acara lain.

Sehubungan itu beliau berharap penduduk bandaraya ini dapat membantu pertubuhan itu mendapatkan dana membeli ambulan melalui penyertaan dalam acara Larian Bagi Kemanusiaan 2019 anjuran PBSM Sarawak.

Larian tersebut terbahagi kepada kategori Larian Fun sejauh 3 kilometer dan Larian Competitive sejauh 10 kilometer. Pelepasannya akan diadakan di Bangunan Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS), Jalan Padungan di sini bermula jam 5.30 pagi.

Maklumat lanjut mengenai larian itu boleh didapati orang ramai dengan melayari laman http://run4humanity19.eventrunner.com.my.