Buku Statistik Subnasional bantu wakil rakyat rancang pembangunan di konstituensi

Mohamad Asfia (kiri) menyampaikan Buku Statistik Subnasional kepada Adun Tebedu Dr Simon Sinang. Foto: Ukas

KUCHING, 14 Sept: Buku Statistik Subnasional adalah rujukan penting kepada semua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Negeri ini bagi merancang pembangunan yang bersesuaian di konstituensi mereka.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas), Speaker DUN Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nassar berkata, maklumat dalam buku tersebut akan membantu mereka untuk menyusun strategi serta pendekatan bagi membantu rakyat di kawasan masing-masing.

“Maklumat dan statistik ini adalah datang daripada rakyat dan ia kembali kepada rakyat untuk digunakan oleh setiap ADUN bagi meningkatkan dan memudahkan kerja mereka,” katanya.


Beliau berkata demikian semasa majlis penyerahan Buku Statistik Subnasional DUN kepada Adun-Adun Sarawak di Bangunan DUN di sini, hari ini.

Tambah Mohamad Asfia, peranan ADUN adalah penting terutama sekali dalam membantu Ahli Parlimen di setiap kawasan lebih-lebih lagi apabila pilihan raya umum yang akan diadakan tidak lama lagi.

Jelasnya, statistik ini adalah bersifat neutral yang tidak memihak kepada mana-mana parti di dalam Negeri ini.

Ia terpulang kepada setiap ADUN itu sendiri untuk menggunakan dan memanfaatkan maklumat yang terkandung dalam buku tersebut. — DayakDaily