Budak lelaki maut, basikal ditunggangi bertembung kereta

Keadaan basikal mangsa akibat pertembungan itu.

KUCHING, Sept 1: Seorang budak berusia 10 tahun maut selepas basikal yang ditungganginya bertembung dengan sebuah kereta di KM3 Jalan Datuk Mohd Musa, Kota Samarahan kira-kira jam 10.30 malam tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak, Supt Alexson Naga Chabu berkata, mangsa Arif Fahmi Cassidy yang beralamat di Kampung Sindang cedera parah di kepala.

Mangsa disahkan meninggal dunia pada jam 6.20 pagi tadi selepas menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.


“Kereta di pandu dari Pejabat Pembangunan Pertanian Bersepadu, Samarahan menghala balik ke rumah di Taman Desa Ilmu.

“Di KM3 Jalan Datuk Mohd Musa, pemandu nampak sekumpulan penunggang basikal seramai 4-5 orang bergerak beriringan dari arah yg sama.

“Semasa menghampiri kumpulan penunggang basikal tersebut, tiba-tiba salah seorang penunggang basikal membuat pusingan-U dan menghala ke arah kereta.

“Pemandu cuba mengelak ke kanan tapi gagal disebabkan ada kenderaan datang dari arah bertentangan, lalu berlaku pertembungan,” katanya menerusi satu kenyataan media hari ini..

Pemandu kenderaan yang berusia 33 tahun itu tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes tersebut sedang disiasat dibawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. — DayakDaily