Buah kelapa muda Asajaya mampu menghilangkan rasa panas badan

Siti Nur menjual buah kelapa muda kepada pelanggan di gerainya di Jalan Stutong, Kuching.

KUCHING, 2 Ogos: Buah kelapa muda bersaiz kecil dan manis airnya dari Kampung Tanjung Apong di Asajaya mampu dijual sehingga 200 biji buah sehari kepada orang ramai di bandar raya ini.

Ini diakui Siti Nur Fara Dohe, 32, yang berasal dari kampung terbabit dan membuka gerai menjual buah kelapa muda bersama abangnya, Saidina Albab Dohe, 34, di satu pusat perniagaan di Jalan Stutong, di sini.

“Gerai kami kebiasaannya mampu menjual buah kelapa muda bersaiz kecil ini sehingga 200 biji sehari terutamanya sekiranya cuaca panas terik di bandar raya ini. Bekalan buah kelapa ini diperolehi dari penduduk kampung kami sendiri,” katanya ketika ditemui baharu-baharu ini.


Siti Nur berkata penduduk kampungnya memaklumkan buah kelapa muda bersaiz kecil terbabit bakanya dari Sabah dan kacukan baka buah kelapa dari Thailand yang rasa airnya sangat manis tetapi kuantiti airnya sedikit.

Siti Nur menunjukkan buah kelapa muda bersaiz kecil yang dijual di gerainya.

“Manakala buah kelapa muda baka dari Sabah ini airnya juga manis tetapi kuantiti airnya lebih banyak dari baka Thailand terbabit. Malahan ada pelanggan membeli lebih dari sebiji buah kerana tidak puas menikmatinya rasa manis semulajadinya,” katanya.

Beliau berkata gerainya menjual buah terbabit pada harga RM4 sebiji dan airnya tidak perlu dicampur gula atau manisan tambahan dengan kebanyakkan pelanggan mereka adalah warga bandar raya ini yang mahu menghilangkan rasa panas badan akibat cuaca panas terik.

Selain itu, beliau juga mendedahkan terdapat juga orang ramai yang membeli buah kelapa muda terbabit dari gerainya kerana airnya untuk digunakan mereka dalam perubatan tradisional bagi merawat penyakit tertentu.-DayakDaily