Britain berminat adakan kerjasama dengan Sarawak dalam pelaksanaan ART

Lee(empat dari kiri) menerima kunjungan hormat Charles(empat dari kanan) di pejabat beliau di Bangunan Baitulmakmur di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, JAN 8: Britain berminat mengadakan kerjasama dengan Sarawak dalam pelaksanaan Sistem Autonomous Transit(ART) dan penggunaan sumber hidrogen untuk pengangkutan awam di negeri ini.

Perkara ini dinyatakan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia, Charles Hay pada kunjungan beliau terhadap Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin di Kuching hari ini.


Kunjungan hormat yang berlangsung sekitar 30 minit itu membincangkan peluang perniagaan antara syarikat dan usahawan British terutamanya yang melibatkan infrastruktur dan pengangkutan.

Charles melahirkan hasrat agar syarikat dari Sarawak dan Britain dapat berkerjasama dalam merealisasikan projek ART.

Katanya, syarikat-syarikat dari Britain memiliki pengalaman luas di peringkat dunia dalam pembangunan sektor pengangkutan.

Perbincangan juga berkisar tentang konsep bandar pintar yang dipraktikan di Britain dan pengurusan trafik bandar yang lebih efisyen sebagai model bandar pintar yang boleh dipelajari Sarawak. —DayakDaily.