‘Brain power’ anak tempatan pastikan Sarawak capai status negeri maju – Abang Johari

Dr Annuar berucap mewakili Abang Johari di Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Sarawak.

KUCHING, 6 Jan: Sumber manusia dan pembangunan bakat elemen penting dalam memastikan Sarawak mencapai status negara maju berpendapatan tinggi menjelang 2030.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, kekayaan sumber asli seperti minyak dan gas tidak mungkin dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya tanpa ‘brain power’.

“Kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) berpendapatan bahawa sumber manusia dan pembangunan bakat memainkan peranan utama dalam menentukan masa depan Sarawak.


“Ia bakal memastikan kita mencapai status negeri maju berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya.

Abang Johari berkata demikian dalam teks ucapan yang dibaca Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat Datuk Dr Annuar Rapaee di Majlis Konvokesyen Kolej Teknologi Sarawak di sini, hari ini.

Di majlis yang sama, Abang Johari berkata, Sarawak kini memimpin negara dalam membangunkan pendidikan bertaraf dunia.

Katanya, Sarawak kini memiliki 4 universiti selain CENTEXS sebagai pusat pembangunan kemahiran dan beberapa sekolah yang menggunapakai silibus Cambridge.

“Sarawak juga meletakan bahasa English sebagai medium pembelajaran di sekolah serta bahasa rasmi kedua.

“Ini adalah kerana English diguna di peringkat antarabangsa termasuk dalam bidang sains, teknologi, bisnes dan perdagangan,” katanya.

Seramai 359 orang graduan program Asasi, Diploma dan Ijazah menerima skrol diploma dan ijazah masing-masing di konvokesyen yang diadakan di Dewan Majma’ Tunku Abdul Halim Mu’adzam Shah. — DayakDaily