Bot nelayan tempatan ditahan, tangkap ikan di tempat yang tidak dibenarkan di Bintulu

Bot nelayan yang ditahan.

BINTULU, 16 Jun: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot nelayan tempatan disyaki melanggar syarat sah lesen dengan melakukan aktiviti perikanan di luar kawasan yang dibenarkan.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata bot tersebut ditahan pada jarak lebih kurang 6.5 batu nautika dari Tanjung Kidurong, Bintulu sekitar jam 1.05 petang kelmarin.

Katanya, tangkapan dibuat berikutan aduan komuniti nelayan setempat mengenai aktiviti segelintir bot nelayan tempatan yang menceroboh kawasan pesisir pantai dan merosakkan peralatan menangkap ikan bagi nelayan-nelayan kecil khususnya nelayan pesisir pantai.


“Hasil pemeriksaan mendapati bot tersebut dikendalikan lima kru warga Indonesia mempunyai dokumen yang sah dan tekong warga tempatan, yang kesemuanya berumur dalam lingkungan 21 hingga 47 tahun.

“Maritim Malaysia turut menyita bot, peralatan menangkap ikan jenis pukat tunda, beserta 4,000 kilogram ikan campur,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Jelasnya, enam kru termasuk tekong beserta bot ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi siasatan lanjut.

Kes akan disiasat di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985.

“Mereka disyaki melanggar syarat sah lesen kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang daripada jarak yang dibenarkan yang mana boleh dikenakan kompaun daripada Jabatan Perikanan Malaysia.

“Maritim Malaysia sentiasa mengingatkan kesemua komuniti maritim supaya mematuhi segala peraturan dan undang-undang sebelum melakukan sebarang aktiviti di laut,” katanya.

Pihaknya juga mengalu-alukan sebarang maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim bagi melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kecemasan di laut.

Laporan boleh dibuat melalui talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254) dan Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082- 432544) yang beroperasi 24 jam. ā€” DayakDaily