Bomba Sarawak tempatkan pasukan EMRS di lokasi kerap kemalangan

Pasukan EMRS dalam keadaan siap siaga hadapi sebarang risiko atau insiden sepanjang Hari Raya.
Advertisement

KUCHING, Jun 14: Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak menempatkan pegawai serta anggotanya di beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan di negeri ini sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

Penolong Pengarah Operasinya, Tiong Ling Hii berkata, antara yang digerakkan ialah pasukan Kecemasan, Perubatan, Tindak Balas dan Perkhidmatan (EMRS) bagi menangani sebarang insiden kecemasan atau kemalangan sepanjang tempoh sambutan Hari Raya.

Jelas beliau, pasukan EMRS akan diletakkan dalam keadaan siap siaga dan ditempatkan di Pantu, Selangau dan Niah bermula Jun 13 hingga 17 ini.

Advertisement

“Sepanjang tempoh tersebut semua petugas akan bertugas secara bergilir-gilir bagi menjalankan tugas menyelamat dan bantuan kecemasan. Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) yang terlibat ialah BBP Sri Aman, BBP Sibu dan BBP Miri.

“Sekiranya berlaku kemalangan pasukan EMRS akan memberikan perkhidmatan rawatan kecemasan kepada pengguna jalan raya yang terlibat,” katanya di sini hari ini.

Tiong menambah, pasukan EMRS yang ditempatkan di kawasan yang dikenal pasti kerap berlaku kemalangan itu adalah bagi memberi rawatan awal kepada mangsa sebelum dihantar ke hospital berdekatan.

Katanya, pasukan bertugas dengan kekuatan dua anggota bagi setiap jentera EMRS akan berada di lokasi dan menjalankan rondaan di sekitar kawasan bermula pukul 10 pagi hingga 5 petang.

“Pada masa sama, pihak bomba juga ingin menasihati para pengguna jalan raya supaya mengutamakan keselamatan sepanjang perjalanan untuk mengelak kejadian yang tidak diingini berlaku,” katanya. — DayakDaily

Advertisement