Bomba lakukan operasi khas bersihkan laluan terjejas akibat tanah runtuh

Anggota bomba melakukan operasi khas membersihkan kawasan terjejas tanah runtuh.
Advertisement

Oleh Dean Adam

SONG, Nov 7: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Song bertindak pantas melakukan khidmat khas membersihkan kawasan tanah runtuh di Jalan Takan-SMK Katibas di sini hari ini.

Kejadian kira-kira pukul 8.30 pagi itu telah mengakibatkan jalan utama menuju ke sekolah menengah berkenaan terjejas akibat ditutupi oleh tanah runtuh.

Advertisement

Komander Operasi dari BBP Song, Mulie Ngabong berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian berkenaan pada pukul 8.35 pagi.

Jelasnya, sejurus menerima mendapat maklumat itu, sepasukan anggota bomba telah bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi khas membersihkan kawasan tanah runtuh tersebut.

“Apabila tiba di tempat kejadian, pasukan bomba mendapati tanah runtuh telah menutup laluan utama di situ.

“Pemeriksaan lanjut, mendapati tiada pengguna jalan raya atau kenderaan yang terjejas akibat insiden itu,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mulie menambah, pasukan bomba kemudian segera melakukan operasi membersih kawasan tanah runtuh tersebut.

Katanya, pasukan bomba menggunakan cangkul dan pencedok dalam operasi khas membersihkan kawasan terjejas tanah runtuh itu.

“Pasukan bomba kemudian memohon bantuan pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk melakukan operasi sama dengan menggunakan jentolak.

“Operasi khas itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.47 pagi dengan keadaan lalu lintas di situ kembali pulih seperti biasa,” ujarnya. — DayakDaily

Advertisement