Bomba lakukan khidmat khas potong gari

Anggota bomba memotong gari yang dipakai pada tangan seorang lelaki sambil diperhatikan anggota polis.

SIBURAN, Feb 28: Pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Siburan telah melakukan khidmat khas memotong gari di balai berkenaan di sini hari ini.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, sebelum itu, sepasukan anggota polis dari IPD Bau telah datang ke BBP Siburan pada pukul 2.54 petang.

Katanya, pasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Bau kemudian memohon untuk memotong gari pada tangan seorang lelaki.


“Pihak polis memohon bantuan untuk memotong gari itu disebabkan kunci gari tersebut telah patah.

“Pasukan bomba yang diketuai oleh PBK II Jude Reiny bersama enam anggota kemudian bertindak memotong gari tersebut dengan menggunakan “grinder” sambil diperhatikan oleh anggota polis untuk keselamatan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tiong menambah, setelah gari tersebut berjaya dipotong, mangsa diserahkan sepenuhnya kepada pihak polis untuk tindakan seterusnya.

“Pihak polis beredar dari BBP Siburan pada pukul 3.09 petang,” katanya lagi. — DayakDaily