KUCHING, Jan 25: Anggota bomba dan penyelamat telah dipanggil bagi memberikan perkhidmatan bantuan khas mengangkat seorang lelaki mempunyai masalah obesiti dengan berat kira-kira 155 kilogram.
Difahamkan, lelaki berusia 50 tahun berkenaan telah mengadu sakit dan lemah-lemah badan selain memerlukan bantuan pemeriksaan kesihatan.
Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, petugas hospital kemudian menghubungi pihak bomba kira-kira pukul 7.31 pagi untuk membantu mendapatkan bantuan mengangkat mangsa.
Katanya, sejurus menerima panggilan berhubung kejadian itu, sepasukan lapan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tabuan Jaya telah dikerahkan ke kediaman mangsa untuk melakukan tindakan lanjut.
“Sebaik tiba, pasukan bomba mendapati petugas perubatan sedang memberikan rawatan kepada lelaki berusia 50 tahun itu.
“Selepas itu, pasukan bomba kemudian membantu mengangkat pesakit tersebut masuk ke ambulans sebelum dibawa ke Hospital Umum Sarawak,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Tiong menambah, operasi ditamatkan sejurus lelaki tersebut dibawa ke hospital.
“Buat masa ini, keadaan lelaki berkenaan dilaporkan stabil,” katanya. — DayakDaily