Biro Pendidikan PBB DUN Bukit Sari bantu pelajar lanjutkan pelajaran ke peringkat tinggi

Awang Tengah (dua dari kiri) menyerahkan cek MRP kepada salah seorang penerima.

KUCHING, 7 Julai: Golongan pelajar di DUN Bukit Sari yang memerlukan penerangan mengenai keperluan pendidikan di Institut Pengajian Tinggi (IPT) akan dibantu, kata Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.

Memetik laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Awang Tengah berkata ia penting untuk memastikan mereka mendapat pendidikan ke peringkat lebih tinggi seperti bidang kemahiran.

“Kita cuba untuk membantu anak-anak yang ingin terlibat dalam pendidikan berteraskan kemahiran misalnya mempelajari latihan kemahiran di vokasional atau CENTEXS.


“Begitu juga dengan jenis kursus dan prospek dalam mendapatkan pekerjaan serta bagaimana mendapatkan biasiswa dan bantuan lain supaya masyarakat tahu kerajaan ada menyediakan kemudahan ini.

“Di samping itu, kita di Pusat Khidmat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) DUN Bukit Sari juga membantu membiayai perbelanjaan pendidikan anak-anak ke peringkat tinggi dengan menghulurkan bantuan dan program ini akan kita teruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Kelulusan Projek Rakyat Infrastruktur Rosak Akibat Banjir dan Penyerahan Bantuan Laptop Biro Pendidikan PBB Bukit Sari di Lawas pada Selasa.

Pada majlis itu, Awang Tengah telah menyerahkan simbolik 23 kelulusan Projek Rakyat bagi infrastruktur yang rosak akibat banjir berjumlah RM3.2 juta.

Beliau turut menyerahkan cek geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) RKB Lawas, JKKK Skim Perumahan Banting, JKKK Kampung Sebangan, JKKK Kampung Batu Dua dan JKKK Kampung Temangis.

Hadir sama Menteri Muda Permodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak merangkap ADUN Bukit Kota Datuk Dr Abdul Rahman Ismail. — DayakDaily