Bintulu hab ekonomi utama negara, kata Dr Rundi

Dr Rundi berucap di Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di Bintulu. Foto: Unit Komunikasi Awam Sarawak (Ukas)

KUCHING, 24 Nov: Bintulu akan menjadi hab ekonomi negara paling utama dan penting untuk Sarawak, Malaysia amnya, kata Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom.

Katanya, ia dapat dilihat dari Tanjung Kidurong hingga ke Samalaju di mana banyak industri telah diwujudkan yang menyediakan tenaga kerja kepada penduduk tempatan dan luar negeri.

Menurut Dr Rundi yang juga penyandang DUN Kemena, ia hasil kestabilan politik di bawah pimpinan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.


“Kalau kita lihat keadaan di Malaysia hari ini, banyak yang tidak menentu termasuk kerajaan pusat dan ada negeri negeri di semenanjung pun sama.

“Dari mula dahulu kita lihat keadaan di Sabah yang terpaksa melakukan pilihan raya kerana banyak yang bergaduh, tidak setuju dan sebagainya. Begitu juga di Perak dan baru-baru ini di Melaka.

“Kita berterima kasih kepada Abang Johari kerana telah memimpin Sarawak dengan cukup teratur,” kata Dr Rundi pada Majlis Makan Malam Bersama Rakyat di Bintulu yang dihadiri Abang Johari malam tadi.

Tambah Dr Rundi, rakyat Sarawak mahukan kesejahteraan, mereka mahu kepastian dan tidak mahu ketidaktentuan.

Ujarnya, memang Keluarga Malaysia bila ada masalah pihak terlibat akan berunding.

“Kalau parti politik punyai agenda tersendiri, sudah pasti parti tersebut tidak akan kekal lama.

“Jadi kita harus tahu bahawa yang penting ialah kesejahteraan masyarakat kita,” katanya.

Justeru katanya lagi, Abang Johari telah mampu menambah pendapatan kepada negeri dengan pengenalan cukai minyak dan gas yang menjana pendapatan RM7 bilion sejak 2019.

Pendapatan ini, kata Dr Rundi, digunakan untuk membawa pelbagai pembangunan di Sarawak demi kesejahteraan rakyat.

Turut hadir Menteri Perumahan Dan Kerajaan Tempatan Dato Sri Dr Sim Kui Hian dan Menteri Integriti Dan Ombudsman Datuk Talib Zulpilip. — DayakDaily