Bilangan kes Covid-19 di Sarawak meningkat 3 minggu berturut-turut

Dr Ooi Choo Huck. Photo courtesy of Ministry of Health

KUCHING, 28 Ogos: Bilangan kes Covid-19 di negeri Sarawak menunjukkan peningkatan bagi tiga minggu berturut-turut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Dr Ooi Choo Huck dalam kenyataan hari ini berkata, Minggu Epidemiologi ke-31/2022 iaitu bagi tempoh 31 Julai hingga 6 Ogos merekodkan 601 kes.

“Manakala, Minggu Epidemiologi ke-32/2022 dari 7 hingga 13 Ogos 2022 merekodkan 930 kes dan Minggu Epidemiologi ke-33/2022 dari 14 hingga 20 Ogos dengan 806 kes,” katanya.


Walau bagaimanapun tambah Dr Ooi, kadar kematian kekal rendah iaitu satu bagi setiap 1 juta populasi bagi 14 hari terakhir.

Katanya, kadar penggunaan katil ICU bagi pesakit Covid-19 setakat 25 Ogos 2022 adalah sebanyak 7.2 peratus, di mana empat orang pesakit memerlukan bantuan pernafasan dan seorang tidak memerlukan bantuan pernafasan.

Dalam kenyataan yang sama, Dr Ooi memaklumkan bahawa sehingga 25 Ogos 2022, status vaksinasi bagi liputan dos kedua adalah sebanyak 92 peratus (1,901,805 orang) bagi populasi dewasa berumur 18 tahun ke atas.

“Bagi remaja berumur 12 hingga 17 tahun adalah sebanyak 92.8 peratus (268,359 orang) dan 89.6 peratus (256,126 orang) dalam kalangan kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun.

“Manakala, bagi keseluruhan populasi Sarawak yang telah menerima dos kedua adalah sebanyak 85.9 peratus (2,426,406 orang),” ujar beliau.

Sementara itu beliau berkata, setakat 20 Ogos 2022, liputan dos penggalak pertama dalam kalangan yang layak adalah sebanyak 89.9 peratus (1,650,869 orang).

Namun, terdapat 185,815 orang yang masih belum menerima dos penggalak pertama vaksin COVID-19.

“Manakala, 35,169 orang (7.1 peratus) yang layak telah menerima dos penggalak kedua vaksin COVID-19,” ujar Dr Ooi.

Pemberian dos ketiga dan dos penggalak vaksin COVID-19 adalah secara sukarela dan dilaksanakan di semua Pusat Pemberian Vaksin (PPV) yang terdiri dari Klinik Kesihatan KKM, hospital swasta dan klinik swasta. — DayakDaily