‘Berwaspada apabila membeli benih anak pokok durian Musang King’

Uggah (tiga dari kanan) menyampaikan barangan penanaman durian kepada penduduk kampung selepas melancarkan Program Pemulihan Dusun Durian di Dewan Serbaguna Teng Bukap, Padawan, di Serian.
Advertisement

SERIAN, Mei 1: Penduduk negeri ini terutama kalangan petani dinasihatkan supaya berhati-hati membeli benih anak pokok durian Musang King di pasaran negeri ini kerana mereka boleh tersalah beli dengan mudah dan mengalami kerugian.

Timbalan Ketua Menteri dan Menteri Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah, Datuk Amar Douglas Uggah Embas berkata demikian dengan ketika ini ramai petani mahu membeli benih anak pokok durian Musang King sehingga harganya mencecah RM1,000 sepohon tetapi mereka malahan penjualnya juga tidak tahu membezakannya dari benih anak pokok durian biasa yang lain.

“Saya sebagai menteri pertanian, saya juga tidak dapat membezakan samada benih anak pokok durian terbabit ialah Musang King atau bukan. Tetapi penjualnya boleh mendakwa itu adalah Musang King, jadi saya menasihatkan petani-petani supaya berhati-hati,” katanya ketika merasmikan Majlis Pelancaran Program Pemulihan Dusun Durian di Dewan Serbaguna Teng Bukap, Padawan, di sini, hari ini.

Advertisement

Program tersebut di Serian melibatkan peserta dari Kampung Jambu, Kampung Pesang dan Kampung Bunga dan majlis pelancarannya juga dihadiri Menteri Pendidikan, Sains dan Penyelidikan, Dato Sri Michael Manyin Jawong, Menteri Muda Pembangunan Tanah Adat Datuk Roland Sagah Wee Inn, Menteri Muda Pengangkutan Datuk Dr Jerip Susil, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedup Martin Ben, ADUN Serembu Miro Simuh, dan Calon Barisan Nasional untuk kerusi Parlimen Puncak Borneo, Genot@Jeannoth Sinel.

Uggah sehubungan masalah itu, mengarahkan Jabatan Pertanian Sarawak supaya segera mewujudkan tapak semaian bagi benih pokok durian Musang King di negeri ini dan bekerjasama dengan syarikat Top Fruits (Sarawak) Sdn Bhd (Top Fruits).

“Sekarang ini ada pokok durian Musang King yang berbuah, kita akan mendapatkan benihnya dan menbelinya dari mereka dan segala bahan penanaman durian terbabit, supaya kamu (petani Sarawak) dapat membeli bahan penanaman durian Musang King, Black Thorn atau apa juga (durian berkualiti tinggi) dengan harta lebih murah,” katanya.

Beliau berkata ini supaya lima tahun akan datang negeri ini terutama bahagian Serian akan menjadi tempat pengeluaran Musang King terbesar di negara ini, dan herharap petani kawasan itu memberikan kerjasama teutama dalam Program Pemulihan Dusun Durian.

Uggah menjelaskan fasa pertama program itu akan membabitkan peruntukan sebanyak RM7 juta dari kerajaan negeri bagi membaikpulih sebanyak 20,000 pohon pokok durian di kawasan Serian, Betong, Marudi dan Limbang.

Ini juga termasuk bagi menjadikan ladang durian di stesen pertanian Semengok (Kuching), Tarat (Serian), Layar (Betong) dan Kabuloh (Miri) sebagai model ladang bagi memberi latihan penanaman durian kepada petani tempatan.

“Top Fruits akan memberikan bahan berkaitan durian dan kerajaan negeri akan nemberikan latihan kepada petani tempatan di pusat latihan pertanian itu dan selepas itu diperluaskan dengan melatih kalangan pekebun kecil pula,” katanya.

Ini kerana bagi memastikan pokok durian Musang King berbuah lebat seperti di Sabah yang sehingga ada 300 biji sepohon akan memerlukan petani mematuhi formula pembajaan dan panduan penanaman yang betul.

“Kita berharap melalui program ini, tahun hadapan dapat membeli sehingga 300,000 tan durian tempatan segar dan mengandakan eksport pes durian negeri ini ke China. Top Fruits juga tiada had pembelian buah terbabit bagi menghasilkan pes durian bagi dieksport ke China,” katanya.

Uggah berkata demikian dengan pes durian beku pertama dieksport Top Fruits ke China pada Mac 21 yang lepas yang sebanyak 16 tan dan telah membeli 80 tan durian tempatan dari kawasan Kuching, Serian dan Bau pada harga purata RM3 sekilogram.

Manakala pada musim durian hadapan syarikat itu mensasarkan membeli sekurangnya 300 tan buah durian tempatan segar bagi menghasilkan 60 tan pes durian bagi dieksport ke China. — DayakDaily

Advertisement