Bertanding di semua 31 kerusi Parlimen adalah prinsip GPS — Minos

Dato Peter Minos

KUCHING, 16 Mei: Keputusan Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lebih merupakan satu prinsip yang harus dipegang teguh.

Menurut ahli politik veteran Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Dato Peter Minos, ia bukanlah polisi politik atau strategi GPS.

“Prinsipnya ialah GPS tidak mahu mana-mana parti politik dari Semenanjung Malaysia bertanding di dalam pilihanraya Sarawak, samada PRU atau pilihan raya negeri.


“Jika tidak, ia bertentangan dengan aspirasi politik rakyat Sarawak dan idea Sarawak diutamakan.

“Maka, minta maaf kepada Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dan juga Umno (Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu). Di peringkat persekutuan, GPS adalah mesra kepada kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Minos yang juga Pengerusi Majlis Daerah Samarahan (MDS), keputusan itu bukanlah disebabkan ada agenda tersendiri GPS, bukan juga tidak suka kepada Bersatu dan Umno.

“Jika Bersatu dan Umno tidak menyukainya, kita tak boleh buat apa-apa.

“GPS tidak akan melepaskannya, GPS harus teguh melangkah ke hadapan seperti yang diharapkan rakyat negeri ini,” ujar beliau.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg selesai mempengerusikan mesyuarat Pra Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) semalam mengulangi pendiriannya bahawa GPS bertanding di kesemua 31 kerusi Parlimen pada PRU15.

Beliau menegaskan demikian ketika ditanya mengenai kenyataan presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang memohon GPS mempertimbangkan satu kerusi untuk parti itu di Sarawak.

“Bila tiba masa kita akan lihat… namun GPS tetap akan mengisi kesemua 31 kerusi Parlimen pada PRU-15,” kata Abang Johari.

GPS terdiri daripada PBB, Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP), Parti Rakyat Sarawak (PRS) dan Parti Demokratik Progresif (PDP).

Pada pilihan raya umum (PRU) lalu, PBB memenangi 13 kerusi Parlimen, SUPP (satu), PRS (tiga) dan PDP (dua).

Kerusi Parlimen Saratok dan Puncak Borneo kini disandang oleh Bersatu Sarawak. — DayakDaily