Bersatu di bawah parti lain merugikan Sarawak, kata ADUN Batu Kitang

Lo (depan, baju kuning) merakamkan kenangan bersama penerima KGC pada lawatan ke Pusat Penjaja Kampung Haji Baki.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 10 Ogos: ADUN Batu Kitang Lo Khere Chiang menyeru rakyat Sarawak agar terus bersatu di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Katanya, kemunculan parti-parti lain yang mendakwa mewakili rakyat negeri ini hanya akan merugikan Sarawak.


“Saya tak ingin melihat rakyat negeri ini berpecah disebabkan parti-parti lain yang mendakwa mewakili Sarawak.

“Secara umumnya, kita tidak akan dapat bersatu dan ini sudah tentu merugikan Sarawak,” katanya ketika ditemui pemberita di Pusat Penjaja Kampung Haji Baki di sini, hari ini.

Menurut Lo yang juga Pengerusi Majlis Perbandaran Padawan (MPP), bersatu di dalam GPS adalah pilihan terbaik kerana pemimpinnya mengutamakan rakyat dan pembangunan.

Jelas beliau, rakyat Sarawak harus sentiasa bersama dan GPS akan sentiasa membawa pembangunan selain mendapatkan semula sumber kekayaan daripada Petronas.

“Petronas telah bersetuju untuk membayar cukai SST sebanyak lima peratus kepada Sarawak dan saya ingin melihat kita mendapatkan semula sumber kekayaan lain daripada Petronas.

“Saya juga ingin melihat Sarawak mendapatkan semula kuasa otonomi dalam bidang pendidikan dan kesihatan,” ujar Lo.

Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan bahawa Pusat Penjaja Kampung Haji Baki akan dinaik taraf dengan peruntukan RM600,000 pada tahun ini.

Katanya, ia adalah untuk kebaikan penduduk Kampung Haji Baki dan diharap dapat membantu menambah pendapatan mereka.

Pada lawatan tersebut, Lo turut menyampaikan Kenyalang Gold Card (KGC) kepada 15 penerima dari Kampung Haji Baki. — DayakDaily