Bersatu buat keputusan baik tidak bertanding PRN12, kata Karim

Karim ketika ditemui di Kuching hari ini.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Nov: Keputusan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk tidak bertanding di dalam Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) pada Disember ini adalah baik, kata Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu PBB Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.

Menurut Karim yang juga Menteri Belia Dan Sukan, ini adalah kerana Gabungan Parti Sarawak (GPS) adalah rakan Bersatu di peringkat parlimen yang telah menubuhkan kerajaan persekutuan.


“Pandangan saya ialah ia satu keputusan yang baik sekali. Apabila kita mengadakan pilihanraya di sini, lebih baik biarkan Sarawak mengendalikannya sendiri.

“Kerana GPS pun sudah memaklumkan bahawa kita akan bertanding di semua 82 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di Sarawak,” katanya ketika ditemui selesai majlis Jelajah Belia Sarawak@Satok 2021 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.

Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa merasmikan Persidangan Bersatu Bahagian Pagoh di Johor semalam berkata, keputusan itu dibuat dengan mengambil kira kemampuan GPS yang dilihat mampu memenangi semua kerusi yang bakal ditandingi di negeri itu.

Menurut Muhyiddin, perbincangan diperingkat Bersatu bahawa parti tidak akan bertanding dalam (PRN12) kerana hendak memastikan parti yang sudah ada di Sarawak itu menang dengan cemerlang dan itu (juga) hasrat pimpinan GPS.

“Walaupun kita ada tempat tertentu yang parti percaya kita (Bersatu) boleh menang, tetapi pandangan daripada pihak GPS perlu dihormati dan saya percaya GPS juga mempunyai kekuatannya tersendiri,” kata Muhyiddin.

Pada majlis itu, Muhyiddin yang juga Pengerusi Perikatan Nasional (PN) tidak menolak kemungkinan GPS sedia bekerjasama dengan parti-parti komponen PN bagi menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU15) nanti.

Katanya, pandangan daripada pihak GPS adalah kerusi sedia ada dikekalkan, cuma diperingkat PRU15 nanti ada gambaran yang mengatakan mungkin GPS akan memberi pertimbangan dimana parti lain boleh bersama mereka termasuk PN.

Sebelum ini Pengerusi GPS Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan GPS kekal dengan keputusan bertanding di semua 82 kerusi DUN.

Satu-satunya kerusi yang dikuasai oleh Bersatu kini ialah DUN Krian melalui penyandangnya Datuk Ali Biju setelah mempertahankan kerusi itu menggunakan tiket Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada PRN-11.

Pada PRN11, Ali ketika itu berjaya menewaskan wakil calon Barisan Nasional (BN) Kilat Beriak majoriti 1,640 undi. — DayakDaily