Beroperasi tanpa lesen selepas 31 Mac, DBKU ambil tindakan tutup premis

Hilmy (duduk kiri) pada sidang media di Metro City Petra Jaya hari ini.

KUCHING, 24 Jan: Sebanyak 82 premis perniagaan makanan di bawah seliaan Dewan Bandaraya Kuching Utara (DBKU) diberi tempoh sehingga 31 Mac ini untuk mendapatkan lesen perniagaan.

Datuk Bandar DBKU Hilmy Othman berkata, sekiranya premis-premis tersebut masih gagal mendapatkan lesen, ia akan diarahkan tutup.

“Pihak kita (DBKU) akan mengambil tindakan tegas dengan mengarahkan premis tanpa lesen untuk menghentikan operasi.


“Tindakan mungkin kelihatan tidak baik bagi mereka yang menjalankan perniagaan, tapi beroperasi tanpa lesen adalah satu pelanggaran undang-undang pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Operasi Peka di premis perniagaan di sekitar Metro City di Petra Jaya hari ini.

Tambah Hilmy, pihak DBKU mengambil pendekatan mesra bagi memastikan setiap premis memiliki lesen dan tempoh yang diberikan adalah bersesuaian.

Katanya, pemikiran segelintir para peniaga dengan memulakan operasi dahulu lesen kemudian bagaikan sudah menjadi satu trend.

Namun jelas Hilmy, ia adalah satu pelanggaran undang-undang dan perlu diperbetulkan.

“Permohonan lesen perniagaan DBKU tidaklah ketat, jika semua kriteria memenuhi ketetapan lesen boleh dikeluarkan dalam tempoh 14 hari,” jelas Hilmy.

Setakat 31 Dis 2023, terdapat 456 premis perniagaan makanan di Bandaraya Kuching Utara.

Daripada jumlah tersebut, 374 premis telah mempunyai lesen dan sejumlah 163 premis perniagaan makanan sekitar Bandaraya Kuching tidak mempunyai lesen.

“Namun, setelah beberapa siri pemantauan dan kesedaran oleh DBKU, kini hanya 82 premis tidak mempunyai lesen.

“Sementara 36 premis masih dalam proses permohonan lesen dan 45 premis telah lulus untuk mendapatkan lesen,” kata Hilmy.

Dalam pada itu beliau memaklumkan Operasi Peka adalah untuk melakukan pemeriksaan terhadap premis-premis perniagaan makanan samada mempunyai lesen atau tidak.

Selain itu pihak DBKU juga memantau tahap kebersihan premis dan persekitaran premis. — DayakDaily