Berita larang rentas daerah palsu: KKM

Filepix

KUCHING, 2 Okt: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menafikan berita palsu yang larangan rentas daerah di seluruh negara akan dikuatkuasakan 12.01 tengahmalam Sabtu (3 Okt).

“KKM menafikan pernah mengeluarkan kenyataan yang tular di media sosial bahawa larangan rentas daerah di seluruh negara akan dilaksanakan dikuatkuasakan mulai jam 12.01 malam pada 3 Oktober 2020,” menurut kenyataan KKM disiarkan di Facebook Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKM) hari ini.

Sehubungan itu KKM meminta orang ramai agar tidak berkongsi dan menularkan di media sosial berita yang tidak sahih terbabit.

Sementara itu, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) juga mengeluarkan kenyataan media hari ini yang kementerian terbabit mencadangkan kepada semua institusi pengajian tinggi (IPT) menangguhkan dahulu pendaftaran secara fizikal atau bersemuka pelajar-pelajar baharu dan lama ke kampus.

“Semua urusan pendaftaran pelajar boleh dilaksanakan secara dalam talian, begitu juga aspek pengajaran dan pembelajaran sehingga pengumuman baharu mengenainya dibuat,” menurut KPT.

Manakala bagi pelajar yang telah berada di kampus-kampus dan sedang mengikuti aktiviti akademik, KPT menjelaskan mereka boleh kekal berada di kampus masing-masing dan pihak IPT diminta membantu segala keperluan pelajar terbabit serta KPT dicadangkan IPT menangguhkan semua program dan aktiviti melibatkan himpunan di kampus.

“KPT juga telah mengambil langkah proaktif berunding dengan syarikat-syarikat penerbangan bagi memohon mempertimbangkan penjadualan semula penerbangan pelajar-pelajar yang pulang ke kampus khususnya yang telah membeli tiket penerbangan pulang ke kampus IPT masing-masing,” menurut kementerian itu.

KPT berkata hasil rundingan itu syarikat-syarikat penerbangan telah bersetuju menjadualkan semula penerbangan pelajar sehingga 31 Disember depan. — DayakDaily