Beri ruang kaum Berawan sertai persatuan – Gerawat

Gerawat (duduk lima kanan) bersama ahli-ahli Persatuan Wanita Long Terawan Mulu.

KUCHING, 4 Okt: Penubuhan mana-mana persatuan perlulah terbuka tanpa mengira pandangan politik, agama dan asal usul, kata Timbalan Menteri Buruh, Imigresen dan Pemantauan Projek Dato Gerawat Gala.

Menurut laporan Unit Komunikasi Awam Sarawak (UKAS), Gerawat yakin dengan sifat demikian ia memberi ruang kepada semua kaum Berawan daripada pelbagai kawasan untuk menyertai persatuan.

“Inilah satu keistimewaan persatuan-persatuan di mana kita terbuka.

“Dan, persatuan ini juga merupakan satu pentas ataupun menjadi satu ruang untuk kita membangun bakat-bakat kepimpinan,” katanya semasa berucap merasmikan Persatuan Wanita Long Terawan Mulu di Miri baru-baru ini.

Dalam pada itu, Gerawat mahu setiap persatuan termasuk Persatuan Wanita Long Terawan Mulu Miri bekerjasama dengan pemimpin masyarakat di peringkat kampung dan komuniti.

Katanya, banyak persatuan yang mempunyai perbezaan pendapat dan ini mencipta masalah kepada komuniti dan kampung.

“Kalau kita lihat objektif persatuan (Persatuan Wanita Long Terawan Mulu Miri) tadi adalah untuk kebaikan dan kebajikan ahli-ahli untuk bekerjasama dengan ahli-ahli lain dan kerajaan.

“Ini sangat perlu kerana di peringkat kampung kita hendak bekerjasama dengan pemimpin-pemimpin kita, ketua masyarakat kita dan ketua kaum kita,” ujarnya.

Pada majlis itu, beliau turut mengumumkan sumbangan peruntukan sebanyak RM10,000 geran Projek Kecil Luar Bandar (MRP) kepada Perstuan Wanita.

Manakala MP Baram Anyi Ngau menyumbang RM3,000 bagi perbelanjaan majlis ini dan RM10,000 kepada Persatuan Berawan Sarawak. — DayakDaily