‘Beri peluang kepada Petros membuktikan kebolehannya’

Abang Johari (kanan) mengumumkan Ahli Lembaga Petros semasa majlis pelancaran Petros Selasa lepas.
Advertisement

KUCHING, Mac 9: Penduduk negeri ini perlu mengelakkan terikut dengan pembangkang yang sudah memburukkan Petroleum Sarawak Berhad (Petros) yang baru sahaja ditubuhkan kerajaan negeri bagi meneraju penyertaan negeri ini dalam industri minyak dan gas.

Penganalisa politik Datuk Peter Minos berkata demikian dan mahu penduduk negeri ini terlebih dahulu memberikan peluang kepada Petros bagi mula beroperasi dan seterusnya akan dapat membuktikan kejayaan yang mampu dicapainya dalam industri minyak dan gas.

“Biarkan ianya (Petros) beroperasi dahulu dan mendapat kejayaan, dari menyebut perkara yang negetif mengenainya, seperti dilakukan pihak tertentu dalam pembangkang yang berasal dari Semenanjung,” katanya dalam satu kenyataan media.

Advertisement

Peter berkata penduduk negeri ini yang berfikiran berhaluan kanan amat gembira yang Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg mempunyai idea dan keberanian bagi memulakan Petros, namun pihak pembangkang pula telah melihat kesemua perkara itu secara negetif.

“Bagi saya, ini bukan sahaja amat mengecewakan malahan amat menganggu. Ini kerana ianya ibarat menanam anak pokok durian, belum pun pokok terbabit membesar, sudah ada mengatakan pokok durian itu tidak akan berbuah dan tidak mendatangkan hasil,” katanya.

Beliau berkata sekiranya pembangkang terus bersikap demikian, mereka mungkin akan terus tidak menjadi popular dikalangan penduduk negeri ini dan berharap mereka berubah menjadi lebih menghargai usaha orang lain yang selari dengan pemikiran biasa rakyat Sarawak.

“Ianya memerlukan keberanian dan kesungguhan dalam usaha mendapatkan kembali hak Sarawak dalam Perjanjian Malaysia 1963 dari kerajaan persekutuan yang berkuasa lebih-lebih lagi terhadap hak berkaitan sumber yang boleh menjana kewangan seperti minyak dan gas,” katanya.

Peter sehubungan itu yakin Ketua Menteri telah berusaha sebaik mungkin dalam perkara terbabit dan sepatutnya penduduk negeri ini termasuk pihak pembangkang sekurang-kurangnya ada berterima kasih kepadanya.

“Kita sebagai anak Sarawak mesti menunjukkan yang kita berdiri bersama Ketua Menteri dalam memperjuangkan kuasa dan hak Sarawak dari mana-mana pihak. Kita berhadapan dengan kerajaan persekutuan dan Petronas yang besar dan berkuasa,” katanya.

Beliau berkata bukan mudah bagi mana-mana pihak dapat bertemu dan berbincang dengan kerajaan persekutuan dan Petronas bagi mendapatkan sesuatu dan yakin pembangkang juga tidak akan mampu berbuat demikian.

“Jadi biarlah kita bersama berdoa dan berharap Petros akan menjana berbilion ringgit untuk Sarawak selepas beberapa tahun nanti. Kita perlukan wang tambahan terbabit bagi mempercepatkan lagi pembangunan sosial dan ekonomi Sarawak,” katanya.

Bagi membolehkan perkara terbabit dicapai, Petros mestilah beroperasi dengan lancar tanpa banyak halangan, tambah beliau. — DayakDaily

Advertisement