Beri nilai tambah kepada industri perkayuan untuk pembangunan hutan lestari

Abang Johari (tengah) menyerahkan dokumen MOU antara Unimas dan ITB kepada Yonny.
Advertisement

KUCHING, 22 Jan: Usaha untuk memberikan nilai tambah kepada setiap pokok yang ditebang di hutan Sarawak hendaklah menjadi antara agenda utama industri perkayuan di negeri ini.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pendekatan tersebut selaras dengan kehendak masyarakat antarabangsa ke arah pembangunan hutan yang lestari dan manpan.

“Usaha ke arah memberikan nilai tambah kepada hasil kayu kayan negeri ini terutamanya dalam bidang perusahaan perabot amat memerlukan latihan yang sistematik.

Advertisement

“Usaha ini dapat kita lihat seperti yang telah dilakukan oleh Institut Tekonolgi Bandung (ITB) melalui Fakultas Seni Rupa dan Desainnya,” katanya ketika berucap pada Majlis menandatangai Memorandum Persefahaman (MOU) antara Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) dengan ITB di pejabatnya di sini hari ini.

Beliau bekata, MOU berkenaan merupakan langkah ke arah kaedah lebih sistematik antara kedua-dua universiti terbabit dalam mempertingkatkan kolaborasi bidang akademik dan reka bentuk perabot melibatkan anak-anak muda Sarawak pada masa akan datang.

Katanya, Ketika ini Perbadanan Perusahaan Kayu Sarawak (Pusaka) dan ITB sudah mempunyai gagasan kerjasama di mana ramai anak muda Sarawak sudah dan sedang mendapat latihan dalam reka bentuk perabot di Kampus ITB.

Mengulas lanjut, Abang Johari berkata, kolaborasi antara Indonesia dan Sarawak bukanlah sesuatu yang asing kerana sekarang Sarawak sudahpun mempunyai kerangka kerjasama untuk membekalkan tenaga elektrik ke Kalimantan Barat.

Malah beliau turut menyokong cadangan agar kerjasama antara ITB dan Unimas dikembangkan ke bidang-bidang lain selain daripada penyediaan latihan reka bentuk oleh Institut berkernaan.

Yang turut hadir, Naib Canselor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi, Rektor ITB Profesor Reini D. Wirahadikusumah dan Konsul Jenderal Republik Indonesia di Sarawak Yonny Tri Prayitno. — DayakDaily

Advertisement