Berhati-hati dengan berita viral mengenai golongan miskin di laman social

Dato Sri Fatimah Abdullah (tengah) melihat wakil tiga syarikat tempatan bertukar dokumen MOA sebagai vendor WWTS 2018 dengan Pengarah JWKS, Noriah Ahmad (tiga dari kiri).
Advertisement

KUCHING, Jan 11: Orang ramai di negeri ini perlu berhati-hati dengan pihak yang menviralkan berita di laman sosial mengenai golongan miskin tanpa tempat tinggal dan merayu orang ramai memberi sumbangan kewangan melalui satu akaun bank peribadi didakwa bagi digunakan membantu golongan itu.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah berkata demikian kerana merasa curiga dengan berita terbabit yang dikuatiri tidak betul dan hanya direka pihak yang mahu mengambil kesempatan terhadap golongan miskin terbabit bagi memperdayakan orang ramai.

“Saya telah menerima maklumat mengenai berita itu tengah malam tadi (kelmarin) yang mengisahkan seorang ibu tunggal dengan dua anak kecil yang dilihat berkeliaran di satu tapak pembinaan dan saya sudah meminta Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri ini segera menyiasat berita terbabit,” katanya ketika menyaksikan Majlis Menandatangani Memorandum Perjanjian (MOA) Di Antara Jabatan Wanita Dan Keluarga Sarawak (JWKS) Dengan Vendor Pusat Latihan Wisma Wanita (WWTC) 2018 di Wisma Wanita, Petra Jaya, di sini, semalam.

Fatimah berkata berita di laman sosial terbabit telah mendakwa wanita berkenaan dan anak kecilnya tiada tempat tinggal kerana bercerai dan ditinggalkan suami serta telah ditolak permohonannya mendapatkan bantuan kebajikan dari JKM Sarawak.

Individu yang menviralkan berita tersebut kemudian meminta orang ramai supaya memasukkan sumbangan mereka ke satu akaun bank miliknya supaya sumbangan terbabit dapat digunakan bagi membantu wanita berkenaan dengan segera.

“Saya ingin maklumkan disini setelah disiasat, didapati wanita itu sebenarnya ialah seorang penerima bantuan kebajikan dari JKM dan beliau bukan tiada tempat tinggal kerana pagi tadi kakitangan kami yang menyiasat berita itu mendapati wanita terbabit dirumahnya di Kampung Tanjung Bundong, Kota Samarahan,” katanya.

Menurutnya, wanita terbabit sebelum ini ada menerima bantuan JKM Sarawak tetapi telah diberhentikan Julai tahun lepas kerana telah gagal melaporkan diri kepada jabatan itu bagi meneruskan pemberian bantuan kebajikannya.

“Ini disebabkan ibu tunggal itu kerap berpindah tempat tinggalnya sehingga saudara maranya juga tidak tahu dimana beliau berada dan kami meminta wanita terbabit memohon semula bantuan kebajikan dari JKM Sarawak serta memintanya sentiasa memaklumkan tempat tinggalnya kepada orang lain,” katanya.

Fatimah berkata pihaknya juga meminta wanita terbabit menjaga kedua-dua anak kecilnya dengan sebaik mungkin dan menegaskan akan mengunakan undang-undang bagi memberikan perlindungan kepada anak-anaknya sekiranya didapati wanita terbabit mengabaikan mereka.

“Saya juga menasihatkan sesiapa terbaca berita atau menemui kes seperti ini dalam laman sosial supaya memaklumkan kepada JKM Sarawak dahulu bagi disiasat dan memastikan fakta dalam laman sosial itu adalah yang benar,” katanya.

Sementara itu, majlis tersebut menyaksikan tiga syarikat tempatan menandatangani MOA sebagai vendor WWTS 2018 dengan JWKS setelah terpilih secara tender iaitu SG Akademi Sarawak bagi menyediakan kursus masakan, Pusat Latihan Kemahiran Zurainas (kursus kecantikan) dan Teratak Kayangan (kursus spa dan urutan).

Fatimah berkata sejak ditubuhkan pada Okt 9, 2014, sehingga Nov 28 tahun lepas, seramai 12,296 orang peserta telah mendapat manfaat daripada kursus jahitan, masakan, kecantikan, spa dan urutan yang ditawarkan pusat itu. — DayakDaily

 

Advertisement