Berek rumah bujang PGA Batalion 10 terbakar di Kem Lanang

Anggota Bomba berusaha memadam kebakaran.

SIBU, 5 Ogos: Satu blok kediaman di Kem Lanang Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 10, di sini dilaporkan musnah dalam kebakaran hari ini.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata kebakaran melibatkan berek bujang anggota PGA itu berlaku sekitar jam 11.32 pagi.

“Anggota Bomba dari Balai Bomba Sibu terus ke lokasi kejadian dan didapati satu blok 16 pintu telah terbakar 100 peratus dan struktur bangunan adalah jenis tidak kekal,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.


Operasi memadam kebakaran berjaya mengawal api pada jam 12.09 tengah hari dan berjaya dipadamkan sepenuhnya pada jam 12.51 tengah hari.

“Difahamkan hanya sembilan orang penghuni sahaja yang menduduki berek tersebut,” katanya.

Tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

Punca kebakaran masih dalam siasatan. — DayakDaily