Berek 16 anggota PGA musnah terbakar di Limbang

Anggota Bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

LIMBANG, 1 Jun: Sebuah blok berek yang didiami 16 anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Batalion 12, di sini musnah dalam kebakaran awal pagi hari ini.

Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata kejadian dilaporkan berlaku pada jam 5 pagi.

Jelasnya, semasa kejadian hanya sembilan anggota berada di dalam berek, dan tujuh lagi di kawasan operasi di Op Benteng Merapok, Bentuan SSGP Merarap dan Op Benteng Ba’kelalan.


“Kebakaran tersebut telah memusnahkan hampir keseluruhan berek blok yang mempunyai lapan pintu.

“Terdapat empat buah kenderaan iaitu sebuah kereta dan tiga motosikal turut musnah dalam kebakaran tersebut, selain peralatan peribadi mangsa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya juga, keseluruhan berek tersebut diperbuat daripada kayu kecuali bahagian dapur yang diperbuat daripada simen konkrit.

Kebakaran itu dilaporkan berlaku pada jam 5 pagi.
Kelihatan kereta yang telah lebur akibat kebakaran itu.

“Walau bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa mahupun kecederaan dilaporkan, kecuali kehilangan dokumen peribadi dan harta benda,” katanya.

Susulan itu juga, bantuan segera telah diberikan kepada mangsa iaitu hasil sumbangan Kelab Polis, Tabung Surau Darul Ibadah serta Persatuan Keluarga-keluarga Polis (Perkep) dari Kompeni C Batalion 12 PGA.

“Kesemua anggota yang terlibat ditempatkan sementara di blok berek yang masih kosong,” katanya.

Punca kebakaran dan anggaran kerugian masih belum dapat dipastikan kerana masih dalam siasatan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba).

Anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Limbang diketuai Clarence D Primus Tiandun dikejarkan ke lokasi kejadian untuk memadam kebakaran. — DayakDaily