Belum ada petunjuk PRN12 Sarawak, kata pengerusi SPR

Azhar (tengah) pada sidang media di Kuching hari ini (Nov 26, 2019).
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, Nov 26: Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia, Datuk Azhar Azizan Harun belum menerima sebarang petunjuk berhubung tarikh Pilihan Raya Negeri Ke-12 (PRN12) bakal diadakan.

Namun katanya, kuasa untuk membubar Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak terletak pada kerajaan negeri yang ada sekarang.

Advertisement

“Belum ada petunjuk bila pilihanraya negeri Sarawak akan diadakan. Kuasa untuk bubar DUN terletak kepada kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selesai Sesi Libat Urus bersama wakil dari parti-parti politik dan pertubuhan-pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di sini, hari ini.

Sesi tersebut dihadiri 30 orang yang mewakili 11 parti politik dan 20 orang yang mewakili 11 NGO.

Ia bertujuan untuk mendapatkan pandangan dan cadangan mereka terhadap isu-isu dan dasar baharu kerajaan yang berkaitan dengan ketiga-tiga fungsi SPR.

Antara yang dibincangkan, kata Azhar, adalah status perlaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Tarikh perlaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik dijangka selewat-lewatnya pada bulan Julai 2021.

“Semua perkara yang berkaitan dengan perlaksanaan itu akan dapat disiapkan dalam tempoh 18 hingga 24 bulan dari tarikh kelulusan pindaan oleh Dewan Negara pada 25 Julai 2019 lepas,” katanya.

Ujar beliau, pada masa sekarang SPR sedang menyediakan pindaan kepada peraturan-peraturan pilihanraya 2002 dan undang-undang lain yang berkaitan.

Tambah Azhar, ia melibatkan sistem serta infrastruktur bagi perlaksanaan umur kelayakan pengundi 18 tahun dan pendaftaran pemilih secara automatik.

“Jika dilaksanakan kelak, jumlah pengundi di Sarawak akan meningkat dari 1.2 juta kepada 2 juta orang pada tahun 2023.

“Untuk seluruh negara akan ada peningkatan 50 peratus pada tahun 2023, iaitu dari 14.9 juta pada PRU14 kepada 22.5 juta pengundi,” katanya. — DayakDaily

Advertisement