Belia Sarawak disaran memohon pembiayaan motosikal TEKUN

Wan Junaidi (dua dari kanan) menyampaikan bantuan kepada salah seorang penerima.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Jun: Belia di Sarawak yang berminat untuk menjadi ‘rider’ disaran memohon pembiayaan motosikal daripada Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata TEKUN sedang memberi pinjaman khas sehingga RM10,000 untuk tujuan tersebut.


“Pada masa sekarang ramai individu yang membangunkan perniagaan atas talian menerusi aplikasi Whatsapp dan Instagram.

“Dengan demikian permintaan penghantaran menggunakan Grab Food dan Foodpanda semakin meningkat.

“Akhirnya permintaan untuk ‘rider’ meningkat sehingga 300 peratus,” katanya ketika ditemui pemberita selesai majlis penyerahan bantuan kecemasan perubatan dan pendidikan Parlimen Santubong di sini, hari ini.

Menurut Wan Junaidi, sejak pengenalan pembiayaan tersebut sebulan yang lalu, jumlah permohonan di Sarawak kurang memuaskan jika dibandingkan dengan negeri Pahang, Melaka dan Kuala Lumpur.

“Permohonan ini boleh diluluskan dalam masa dua atau tiga hari dan sesiapa yang berminat bolehlah berhubung dengan pejabat TEKUN terdekat.

“Pada masa sekarang (penularan Covid-19) ramai orang menggunakan sistem atas talian. Mereka memesan makanan secara atas talian yang kemudiannya dihantar terus ke rumah.

“Banyak kedai menggunakan perkhidmatan ini dan oleh yang demikian ‘rider’ adalah diperlukan,” kata Wan Junaidi yang juga MP Santubong.

Pada majlis tersebut, seramai 25 orang telah menerima bantuan perubatan daripada Wan Junaidi dengan jumlah keseluruhan RM18,900.

Manakala 18 orang lagi menerima bantuan pendidikan dengan jumlah RM8,200.-DayakDaily