Belanjawan 2021 diharap beri fokus ringankan beban rakyat pasca Covid-19

Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (tengah) menyentuh 'globe' sebagai simbolik perasmian Jelajah Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong di Hotel Waterfront, Kuching
Advertisement

Oleh Cornelius Kadir Edison

KUCHING, 31 Okt: Pembentangan belanjawan 2021 yang bakal dibentangkan oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin diharap terus menumpukan kepada usaha menangani penularan Covid-19 demi meringankan beban rakyat dan meningkatkan ekonomi negara yang terjejas sejak penularan wabak itu.

Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata fokus seumpama itu perlu memandangkan ramai rakyat di negara ini khususnya golongan B40 menghadapi tekanan dan kesukaran dalam meneruskan kelangsungan hidup disebabkan kelembapan sektor ekonomi pasca Covid-19.

Advertisement

“Apa yang hendak dibentangkan itu sedikit sebanyak dapat meredakan dan mengurangkan beban rakyat, tak perlu sangatlah berkenaan dengan belanjawan untuk membina prasarana yang besar tapi untuk tahun ini saya rasa apa yang perlu diusahakan oleh kerajaan adalah untuk meringankan beban rakyat.

“Saya berharap belanjawan ini turut memberikan fokus untuk kita terus maju, meningkatkan ekonomi sama ada dalam industri pelancongan, belia, sukan dan sebagainya,” katanya ketika sidang media pada siri Jelajah Belia Dewan Undangan Negeri (DUN) Tupong di sebuah hotel di sini hari ini.

Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan turut berharap terdapat insentif atau bantuan diberikan oleh kerajaan pusat menerusi belanjawan yang bakal dibentangkan kepada usaha untuk memeperkasakan Industri pelancongan.

Ini kerana Industri itu antara yang terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 susulan ketiadaan tetamu atau ketibaan pelancong ke negara ini.

“Sedikit sebanyak insentif yang diberikan dalam belanjawan itu nanti akan menghidupkan industri pelancongan domestik termasuk mereka yang terlibat dalam sektor perhotelan, inap desa, taman negara, makanan dan pengangkutan yang secara langsung terlibat dalam sektor pelancongan dapat sedikit sebanyak merasakan sesuatu untuk mereka menghidupkan industri tersebut sedikit demi sedikit,” katanya.

Beliau berkata, dijangkakan pada pertengahan penggal kedua tahun depan industri pelancongan di negara ini dapat dipulihkan sekiranya penularan covid-19 tidak terus melarat.

“Ia tidak akan menunjukkan peningkatan (kadar kedatangan pelancong) dengan cepat, jadi ini hanya akan dapat dibantu melalui insentif-isentif dan perancangan tertentu daripada kerajaan pusat dan kerajaan Sarawak apabila membentangkan belanjawan negeri akan datang,” katanya.

Abdul Karim menegaskan belanjawan yang akan dibentangkan oleh kerajaan Sarawak pada persidangan DUN akan datang perlulah selari dan menjadi pemangkin kepada apa yang di bentangkan dalam belanjawan persekutuan khususnya melibatkan usaha menangani Covid-19 dan meringankan beban rakyat.

“Ia pastinya akan dikoordinasikan dengan belanjawan persekutuan, sebab itulah belanjawan kerajaan negeri akan dibentangkan selepas belanjawan persekutuan iaitu selalunya pada pertengahan sesi kedua persidangan DUN,” katanya. -DayakDaily

Advertisement