Belanjawan 2019 untuk Sarawak amat kecil, kata Fazzrudin

Fazzrudin Abdul Rahman
Advertisement

Oleh Dean Adam

KUCHING, Nov 4: Peruntukan sebanyak RM4.346 bilion yang disalurkan kerajaan persekutuan kepada Sarawak dalam Belanjawan 2019 disifatkan sebagai mengecewakan rakyat di negeri ini.

Timbalan Ketua Pergerakan Pemuda Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Sarawak, Fazzrudin Abdul Rahman berkata, jumlah peruntukan untuk pembangunan negeri ini jelas menunjukkan pendirian kerajaan persekutuan terhadap kerajaan negeri Sarawak.

Advertisement

Jelasnya, hasil bumi yang begitu banyak telah diambil dari Sarawak, namun pembahagian peruntukan ternyata tidak adil.

“Malah, kenyataan Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengatakan rakyat Sarawak tidak sedar diri dan menyalahkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di atas peruntukan yang kecil untuk negeri Sarawak menggambarkan bahawa keputusan dan pendirian kerajaan pusat seolah-olah dilaksanakan dengan perasaan dendam kerana pernah menyokong Barisan Nasional (BN).

“Jadi, saya ingin berpesan kepada Loke bahawa anda merupakan sebahagian dari kerajaan baharu.

“Jika anda ikhlas mahu mebangunkan Sarawak maka peratusan peruntukan yang disalurkan ke negeri ini haruslah memadai dan setara dengan hasil bumi yang telah dikeluarkan dari Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tupong itu menambah, pemimpin seperti Loke bersikap berdendam, biadap dan meminggir Sarawak.

Jelasnya, keadaan itu akan menguatkan lagi semangat rakyat Sarawak untuk memastikan hak Bumi Kenyalang terbela dan tidak sama sekali dikawal oleh orang luar.

“Kami Pemuda PBB menyokong penuh Ketua Menteri Sarawak (Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg) untuk memulakan langkah bagi memperjuangkan, memperkukuhkan dan membangunkan Sarawak daripada hasil bumi kita sendiri dengan apa jua cara sekalipun,” katanya lagi.

Dalam pada itu, belia turut menyoal tindakan Ketua Pembangkang di Sarawak, Chong Chieng Jen.

“Sebelum ini Chong amat lantang bersuara berjanji akan memastikan 30 peratus bajet dari pembangunan akan disalurkan ke Sarawak.

“Kalau dikira mengikut dakwaan Chong, kita hanya menerima RM4.35 bilion dari RM54.7 bilion untuk pembangunan.

“Saya ingin bertanya kepada Chong adakah ini berjumlah 30 peratus seperti yang dilaung-laungkan oleh beliau sebelum ini? Laungan tersebut tiba-tiba hilang apabila pimpinan DAP pusat memberi amaran dan mengatakan rakyat Sarawak tidak sedar diri.

“Ini secara tidak langsung membuktikan bahawa kedudukan Chong yang mewakili PH Swk tidak “bertaring” dan hanya mengikut telunjuk tuan mereka di Semenanjung,” katanya lagi. — DayakDaily

Advertisement