Belanjakan sepenuhnya RM2.8 billion dalam pelaksanaan Program Grid Bekalan Air tahun ini, kata Abang Johari

Abang Johari (lima kanan) bersama yang lain menyaksikan tayangan montaj khas 'JBALB ke arah Pendigitalan’ pada majlis itu.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 16 Jan: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg gesa Jabatan Bekalan Air Luar Bandar(JBALB) membelanjakan sepenuhnya peruntukan RM2.8 billion di bawah Program Grid Bekalan Air pada tahun 2020 ini.

Katanya, peruntukan dari Kerajaan Sarawak pada tahun 2018 itu itu harus dibelanjakan dalam pelaksanaan projek-projek bekalan air khususnya di kawasan yang tiada bekalan air.

“Saya telah arahkan menteri dan kementerian untuk membuat perancangan dan kita guna duit negeri, tak boleh tunggu peruntukan dari Kerajaan Pusat lagi.

“Sebab itu kita peruntukan RM2.8 billion dan saya mahu ia dibelanjakan dalam tempoh 2 tahun.

“Pada tahun 2018 Kerajaan Negeri dah keluarkan duit, dan seterusnya pada 2019 kita telah laksanakan beberapa projek.

“Untuk tahun 2020, kita belanjakan sepenuhnya RM2.8 bilion untuk projek-projek bekalan air luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Apresiasi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar di sebuah hotel di sini, malam tadi.

Tambah beliau, pada lawatan kerjanya ke Asajaya pada Ahad lepas, pengarah JBALB telah memaklumkan bahawa sambungan paip air telah siap dipasang melalui Jambatan Samarahan.

Dengan siap kerja-kerja penyambungan paip itu, Abang Johari percaya dalam tempoh 23 bulan semua kawasan di Asajaya akan menikmati bekalan air bersih.

“Sambungan paip ini akan terus kita laksanakan ke kawasan pesisir di mana kita bina jambatan di Batang Lassa dan dengan itu Pulau Bruit bakal mendapat bekalan air dari Daro.

“Seterusnya kita bina jambatan di Paloh dan ini membolehkan air dibekalkan ke Tanjung Manis,” ujar beliau.

Terdahulu, Menteri Utiliti Datuk Seri Dr Stephen Rundi pada ucapan aluan beliau berkata peruntukan RM2.8 billion itu harus memberi impak maksima kepada penduduk luar bandar.

Katanya, peruntukan itu harus dibelanjakan sebaiknya dan sekaligus menyelesaikan masalah bekalan air di kawasan yang kerap terjejas.

Pada majlis itu, Abang Johari turut menyampaikan Anugerah Pencapaian Cemerlang(APC) kepada kakitangan JBALB yang telah menunjukan prestasi membanggakan. —DayakDaily