Bekalan elektrik Spaoh dan kawasan sekitarnya dipertingkatkan menjelang suku kedua 2020

Lightbulb. — DayakDaily.com file pic. // Photo: Pixabay

Oleh Dean Adam

KUCHING, Mei 29: Kementerian Utiliti Sarawak (KUS) telah mengambil maklum tentang kekerapan gangguan elektrik di Spaoh dan kawasan sekitarnya termasuk Debak dan Pusa.

KUS memberitahu, sumber bekalan elektrik ke Spaoh adalah dari pencawang Engkilili melalui talian atas 33kV sepanjang 60 kilometer (km) dan sambungan simpang-T talian atas 11kV sepanjang 15km.


Jelas KUS, bekalan elektrik ke Debak dan Pusa juga melalui talian atas 33kV yang sama dengan kepanjangannya melebihi 100km.

“Talian yang panjang ini terdedah kepada risiko akibat cuaca buruk, pokok tumbang, gangguan haiwan seperti ular dan monyet serta pembinaan lebuh raya Pan Borneo.

“Selain itu, kerja-kerja penyelenggaraan ke atas talian yang perlu dilakukan di sepanjang talian atas ini turut menyumbang kepada gangguan bekalan. Memandangkan Spaoh, Debak dan Pusa terletak di penghujung talian atas 33kV ini, maka gangguan ke atas talian atas ini akan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di ketiga-tiga pekan tersebut,” kata KUS dalam satu kenyataan media hari ini.

Kenyataan media itu dikeluarkan sebagai merujuk kepada laporan Suara Sarawak yang bertarikh Mei 21, 2019 berkenaan dengan isu “blackout” di Spaoh dan kawasan sekitarnya.

KUS menambah, bagi menyelesaikan masalah ini, Sarawak Energy telah membina satu lagi talian atas yang menyambungkan Spaoh melalui sistem 11KV Debak dan Tanu.

Tambah KUS, sumber bekalan elektrik ke Spaoh telah dipindah ke talian baru ini untuk mempertingkatkan tahap reliabiliti talian pada Februari 16, 2019.

“Bagaimanapun, pada awal bulan Mei yang lalu, terdapat keperluan untuk kerja-kerja penyelenggaraan di stesen pencawang Tanu. Bagi membolehkan kerja-kerja tersebut dilaksanakan, sumber bekalan elektrik terpaksa dipindahkan ke pencawang Engkilili buat sementara waktu.

“Talian elektrik Spaoh akan dibekalkan semula dari stesen pencawang Tanu yang telah siap diselenggara selepas musim perayaan pada bulan Jun nanti,” ujar KUS lagi.

Sebagai langkah penyelesaian jangka panjang kata KUS, Sarawak Energy sedang membina pencawang Serudit 275kV yang dijangka siap dan beroperasi pada suku kedua 2020.

Jelas KUS, apabila siap projek tersebut nanti, sumber bekalan elektrik ke Spaoh dan kawasan sekitarnya akan dibekal terus dari pencawang Serudit 275kV ini.

“Talian atas ke Spaoh akan dikurangkan sehingga sekitar 10km dan reliabiliti bekalan elektrik sistem 33kV di kawasan-kawasan Betong, Spaoh dan Pusa dapat dipertingkatkan ke tahap yang lebih tinggi.

“KUS bersama Sarawak Energy sentiasa berusaha memastikan pengguna mendapat bekalan elektrik yang berterusan,” kata KUS.

Sebarang masalah atau pertanyaan mengenai bekalan elektrik boleh menghubungi Sarawak Energy Call Centre di talian 1300-88-3111, emel customercare@sarawakenergy.com.my atau Twitter @1sarawakenergy. — DayakDaily