Bedah perut buaya, jumpa rangka tulang dipercayai milik manusia

Kelihatan petugas SAR membedah perut buaya.
Advertisement

Oleh Dean Adam

BINTANGOR, Mac 17: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang sejak seminggu lepas digemparkan dengan penemuan seekor buaya di kawasan sungai di Ladang Sawit Zumida di sini hari ini.

Reptilia sepanjang kira-kira 4.2 meter itu ditangkap oleh seorang pawang buaya yang turut membantu pasukan SAR.

Advertisement

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi Bomba Sarawak berkata, buaya tersebut telah mati ketika ditangkap oleh pawang berkenaan.

Katanya, reptilia seberat lebih 100 kilogram itu ditangkap sekitar 3 hingga 5 kilometer dari kawasan ladang kelapa sawit berkenaan.

“Lebih mengejutkan, terdapat cebisan tulang dipercayai rangka manusia ditemui di dalam perut buaya itu selepas bahagian perut reptilia tersebut dibedah.

“Bagaimanapun, tulang yang ditemui itu belum dapat dipastikan sama ada ia milik manusia atau haiwan,” katanya di sini hari ini.

Kelihatan cebisan tulang dipercayai tulang manusia ditemui dari dalam perut buaya.

Jurucakap sama menambah, susulan penemuan tersebut, operasi SAR yang memasuki hari kelapan itu tamat sepenuhnya.

“Hasil perbincangan bersama dengan kesemua pasukan yang terlibat, operasi berkenaan ditamatkan sepenuhnya pada pukul 4 petang,” katanya.

DayakDaily sebelum ini melaporkan seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang di Ladang Sawit Zumida di sini sejak Ahad lepas.

Mangsa yang hilang dikenali sebagai Yosep Tesu. — DayakDaily

Advertisement