BBP Kapit buat laporan polis berhubung panggilan kebakaran palsu

Salinan laporan polis yang dibuat mengenai kes menerima panggilan palsu mengenai kebakaran.

Oleh Dean Adam

KAPIT, Jan 13: Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kapit membuat laporan polis berhubung kes menerima panggilan palsu kononnya berlaku kebakaran melibatkan Rumah Panjang Anding, Nanga Sepuna, Sungai Mujong dekat sini petang tadi.

Berdasarkan laporan diterima, pada pukul 2.49 petang, BBP Kapit telah menerima panggilan daripada pihak MERS memaklumkan penama Mail Ribut telah menghubungi mereka dan memaklumkan ada satu kebakaran berlaku di Rumah Panjang Anding, Nanga Sepuna, Sungai Mujong dekat sini.


Jurucakap bomba dan penyelamat berkata, lebih kurang pukul 6.20 petang, mereka telah menerima maklumat daripada seorang lelaki dikenali sebagai Jackson David Bantan mengatakan tiada sebarang kebakaran berlaku di rumah panjang tersebut.

“Laporan polis yang dibuat ini adalah untuk menafikan terdapat kes kebakaran seperti yang dilaporkan sebelum itu.

“Laporan ini juga dilakukan sebagai rujukan pihak bomba yang mana akan menjaga imej Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Jurucakap sama menambah, pihak bomba juga ingin menasihatkan orang ramai agar tidak sengaja membuat panggilan palsu khususnya melibatkan kes-kes kecemasan.

Jika didapati bersalah, mana-mana individu bakal berdepan dengan tindakan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia yang boleh didenda tidak lebih RM50,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali. — DayakDaily