Bayaran khas RM300 juta setahun kepada Sarawak dibuat selepas diwarta – TPM Fadillah

Dato Sri Fadillah Yusof

SAMARAHAN, 30 Sept: Bayaran khas RM300 juta setahun masing-masing kepada Sabah dan Sarawak berdasarkan Perkara 112D Perlembagaan Persekutuan dibuat selepas ia diwartakan, kata Timbalan Perdana Menteri Dato Sri Fadillah Yusof.

Ditemui di Samarahan hari ini, beliau berkata, formula bayaran khas itu sudah dibentangkan, tetapi belum ada kata putus dicapai sehingga kini.

“Bayaran khas RM300 juta setahun kepada Sarawak memang sudah diumumkan, namun ia tertakluk kepada pewartaan, pembayaran hanya akan dibuat selepas ia diwartakan.


“Jumlah RM300 juta kekal sehingga formula pemberian khas yang sudah dibentangkan sebelum ini dimuktamadkan,” katanya.

Terdahulu Fadillah merasmikan Hari Berandau dan Koperasi Kluster Koko Sarawak di Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Koko di Samarahan hari ini.

Tambah beliau, bayaran itu tidak perlu dimasukkan di dalam Belanjawan 2024 kerana ia sudah dipersetujui Kerajaan Persekutuan. — DayakDaily