Bau Sports Arena bakal dibina di Jambusan

Henry (depan, kiri) bersama pegawai lain meninjau tapak Bau Sports Arena.

Oleh Dean Adam

BAU, Mac 19: Daerah Bau bakal memiliki sebuah kompleks sukan moden yang dinamakan sebagai Bau Sports Arena tidak lama lagi.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru, Dato Henry Harry Jinep berkata, kerajaan Sarawak telah meluluskan pembinaan projek tersebut serta memberi kelulusan untuk sebidang tanah seluas 10 ekar di kawasan Jambusan di sini.


Jelasnya, lokasi untuk kompleks sukan itu terletak kira-kira 3.5 kilometer dari pekan Bau.

“Rancangan pembinaan kompleks sukan ini merupakan hasil usaha sama semua yang merasakan sudah tiba masanya daerah Bau memerlukan sebuah pusat sukan untuk kegunaan masyarakat di sini.

“Fasa pertama pembinaan kompleks ini akan dimulakan apabila reka bentuk pelan dimuktamadkan,” katanya semasa Mesyuarat dan Lawatan Tapak Projek Rakyat-Bau Sports Arena di sini hari ini.

Ilustrasi Bau Sports Arena.

Tambah beliau, bagi fasa pertama, ia akan mengandungi gelanggang futsal, badminton serta tempat letak kereta.

Sementara itu jelasnya, fasa kedua akan mengandungi gelanggang tenis, ‘clubhouse’, kolam renang dan fasa ketiga pula akan merangkumi hostel dan kemudahan asas lain. — DayakDaily