Batu Kawah bakal muncul sebagai bandar satelit — Abang Johari

Abang Johari berucap di Perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho.
Advertisement

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 28 Okt: Batu Kawah bakal menjadi bandar satelit dengan program pembangunan menyeluruh yang dirancang, kata Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Menurut beliau, kedudukan Batu Kawah di tengah-tengah Bandaraya Kuching dan Bau menjadikannya satu kawasan tumpuan.

Advertisement

“Sudah tentu Batu Kawah akan berubah, bukan sahaja berubah wajah tapi menjadi satu bandar satelit.

“Kedudukannya di tengah-tengah pembangunan yang sedang berlaku di antara Bandar Raya Kuching dan juga Bau.

“Bau sekarang ini dalam proses pembangunan sebagai kawasan pelancongan,” kata Abang Johari.

Beliau berkata demikian di Majlis Perasmian Dewan Serbaguna Kuari Ang Cheng Ho di Batu Kawah di sini, hari ini.

Tambah Abang Johari, Kerajaan Negeri kini fokus untuk melaksanakan pembangunan semula kawasan bandar yang melibatkan Kuching terus ke Bau dan termasuk Matang.

Ujar Abang Johari, Batu Kawah satu ketika dahulu hanya ada tiang pemancar RTM dan kawasan tanaman nenas.

“Hari ini, Batu Kawah telah berubah. Maksudnya, kita mempunyai masalah baru.

“Satunya, masalah mengenai dengan kesesakan jalan. Keduanya masalah air. Ketiga masalah elektrik.

“Dan keempatnya, masalah internet. Jadi, hari ini, saya melihat bahawa kita sudah mempunyai ‘master plan’ yang menuju ke arah 2030,” ujar Abang Johari. — DayakDaily

Advertisement