Baru: MPKKP tetap ditubuhkan di luar bandar

Baru (kanan) bersama Jugah pada kunjungan ke Rumah Simon, Nanga Tutung Ulu Engkari, Lubok Antu.

KUCHING, Nov 4: Menteri Kerja Raya, Baru Bian tegas mengatakan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung Persekutuan (MPKKP) harus ditubuhkan di luar bandar.

Katanya, MPKKP akan bekerjasama dengan kerajaan persekutuan untuk mencadang dan membantu dalam perlaksanaan pembangunan dan kemajuan.

“Saya berharap rakyat di luar bandar akan terus menubuhkan MPKKP di semua kawasan,” katanya.


Baru berkata demikian di program bersama rakyat di Rumah Simon, Nanga Tutung Ulu Engkari, Lubok Antu, semalam.

Turut mengiringi beliau, MP Lubok Antu Jugah Muyang, MP Saratok Ali Biju dan Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Lubok Antu, Nicholas Bawin Anggat.

Menyentuh tentang pembangunan, Baru yang juga Pengerusi PKR Negeri berkata akan memajukan rakyat di negeri Sarawak, khususnya rakyat di luar bandar.

“Saya akan bekerjasama dengan rakan-rakan menteri di persekutuan dan badan-badan korporat untuk memajukan rakyat di negeri Sarawak.

“Setelah hampir 60 tahun merdeka, Sarawak masih jauh mundur. Kita akan terus bekerja keras untuk membangunkan negeri Sarawak,” ujar beliau yang juga MP Selangau dan ADUN Ba’kelalan.

Beliau menyeru rakyat supaya memberi kerjasama kepada kerajaan Malaysia di bawah pimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
DayakDaily.