‘Barisan Nasional yang sebenarnya gagal mempertahankan hak Sarawak’

Parti Amanah Negara logo
Advertisement

KUCHING: Kenyataan oleh (Ketua Setiausaha Politik Ketua Menteri) YB Abdullah Saidol yang cuba mempertegaskan bahawa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai tidak membawa apa-apa pembangunan kepada Sarawak dikatakan sebagai ‘begitu lucu betul’ oleh Mohamad Fidzuan Zaidi, Pengerusi Parti Amanah Negara, Wilayah Sarawak.

“Polimik yang sengaja diada-adakan selepas lawatan Tun Mahathir ke Negeri Sarawak sebagai Pengerusi Pakatan Harapan, benar-benar menjerut leher pemimpin Barisan Nasional.

“Reaksi yang diberikan seolah-olah satu reaksi yang gelabah dan serba tidak kena. Ini menunjukkan usaha mereka untuk menutup kegagalan dan kelemahan mereka selama 54 tahun di bawah pemerintahan kerajaan Barisan Nasional adalah sia-sia belaka. Semakin ditutup, semakin besar pekung mereka terbuka,” kata Mohamad Fidzuan dalam satu kenyataan media hari ini.

Advertisement

“Ingin saya bertanya, siapakah yang dipilih oleh rakyat Sarawak untuk mewakili mereka di dalam Parlimen. Siapakah yang sebenarnya yang memerintah Negeri Sarawak selama ini? Lihatlah, bagaimana mereka bermain wayang berlagak seperti ‘hero’ apabila cukai pelancongan ingin diimplimentasikan. Mereka yang bentang, mereka sendiri yang tentang. Akhirnya, dapatlah kita seorang Menteri Setahun Jagung.”

Mohamad Fidzuan juga menyifatkan kenyataan oleh Abdullah Saidol sebagai usaha Barisan Nasional untuk memperkecilkan Pakatan Harapan Sarawak dengan menganggap bahawa parti-parti yang bernaung dibawah panji Pakatan Harapan sebagai parti Semenanjung Malaysia.

“Sebenarnya, kenyataan itu adalah tidak tepat sama sekali. Parti-parti Pakatan Harapan ditubuhkan di seluruh negeri-negeri di Malaysia secara serentak bagi menjunjung semangat Federalisme. Walaupun pakatan kami baru sahaja ditubuhkan, tetapi kami benar-benar ingin mengembalikan kedaulatan Wilayah Sarawak dengan mengangkat negeri Sarawak kepada Wilayah Sarawak. Bukankah perjanjian asalnya adalah Sarawak, Sabah dan Singapura sebagai rakan ‘equal partners’ dengan Semenanjung Malaysia?

“Begitu kerdilnya jiwa pemimpin Barisan Nasional Sarawak sehingga untuk memperjuangkan status dari Negeri kepada Wilayah Sarawak pun mereka tidak berani. Wahai pemimpin Barisan Nasional Sarawak, kamulah yang sepatutnya berjuang untuk rakyat Sarawak yang kamu wakili dan bukannya diam berpeluk tubuh apabila tuan kamu iaitu UMNO memperkecilkan kita. Sekarang, siapakah yang sebenarnya Ulun Malaya?” katanya.

Advertisement