Bapa maut, anak patah kaki dan leher terlibat dalam kemalangan

Beginilah keadaan kemalangan melibatkan dua buah kereta.

LIMBANG, April 21: Seorang bapa maut, manakala anaknya patah kaki dan leher selepas terlibat dalam satu kemalangan membabitkan dua buah kereta di KM 18 Jalan Mendamit di sini semalam.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2 petang itu, mangsa yang maut ialah lelaki warga Brunei Darussalam dikenalpasti sebagai Hamdan Abdullah, 66.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Negeri Sarawak, Supt. Alexson Naga Chabu berkata, anak mangsa pula, Sumadi Hamdan, 34, dilaporkan cedera dan kini masih menerima rawatan di hospital.


Katanya, siasatan awal mendapati kemalangan itu melibatkan masing-masing sebuah kereta Toyota Vios dan KIA Cerato.

“Toyota Vios dipandu oleh anak mangsa iaitu Sumadi, manakala KIA Cerato dipandu seorang wanita berusia 26 tahun yang juga warga Brunei Darussalam.

“Pemandu KIA dilaporkan patah kaki, manakala seorang penumpangnya pula hanya cedera ringan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Tambah Alexson, mayat mangsa sudah diserahkan kepada keluarganya untuk tindakan lanjut.

“Buat masa ini, kes ini masih lagi dalam siasatan,” katanya lagi. — DayakDaily