BETONG, 3 Mei: Kerana terlupa menutup alat penghawa dingin menyebabkan seorang pemilik rumah di Taman Semumok, di sini terpaksa meminta bantuan bomba untuk menutupnya, semalam.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (Bomba) Sarawak berkata pihaknya menerima panggilan daripada pemilik rumah pada jam 8.38 malam.
Katanya, pemilik rumah yang dipercayai berada di luar kawasan risau selepas menyedari alat penghawa dingin rumahnya itu masih berfungsi.
Seramai tiga anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Betong terus ke lokasi kejadian dan mendapati benar alat penghawa dingin masih berfungsi.
Bomba kemudian bertindak membuka pintu rumah berkenaan selepas mendapat kebenaran daripada pemilik rumah dan terus mematikan suiz penghawa dingin tersebut.
Setelah selesai, anggota bomba kemudian bertolak balik ke balai. — DayakDaily