Bank Bergerak BSN beroperasi di Sungai Asap, Belaga

Masyarakat di Sungai Asap beratur menunggu giliran untuk menggunakan perkhidmatan Cawangan Bank Bergerak BSN dengan patuh mengikut SOP yang ditetapkan oleh KKM.

KUCHING, 28 Julai: Bank Simpanan Nasional (BSN) semalam telah memulakan operasi Cawangan Bank Bergerak (CBB) di Sungai Asap bagi membantu urusan perbankan lebih 14 ribu penduduk.

Operasi tersebut menawarkan perkhidmatan perbankan seperti transaksi pengeluaran wang tunai melalui Mesin Teler Automatik (ATM), pembukaan akaun dengan Kad Debit BSN VISA.

Perkhidmatan lain yang ditawarkan ialah simpanan tunai, pembayaran bil-bil utiliti, pembelian BSN Sijil Simpanan Premium (BSN SSP), tambah nilai dan sebagainya.


Selain itu, penduduk di Sungai Asap turut boleh mendapatkan Bantuan Khas Sarawakku Sayang(BKSS) dan Bantuan Prihatin Rakyat (BPR) melalui CBB BSN.

Seramai 25 orang petugas yang terdiri daripada kakitangan BSN Sarawak, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak Pejabat Daerah Kecil Sungai Asap telah turut serta dalam operasi CBB di Sungai Asap.

Melalui pembukaan CBB BSN ini diharapkan dapat memenuhi keperluan perbankan masyarakat di kawasan pedalaman Sarawak seiring dengan visi BSN iaitu ‘Tiada Rakyat Malaysia yang Ketinggalan. — DayakDaily