Bangunan kedai di pekan Lawas terbakar

Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.

Oleh Dean Adam

LAWAS, Dis 29: Sebuah bangunan kedai di pekan di sini terbakar, awal pagi tadi.

Bagaimanapun, dalam kejadian kira-kira pukul 3.40 pagi itu, tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lawas, Zaki Hussin berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada pukul 3.46 pagi.

Jelasnya, sepasukan anggota bomba kemudian bergegas ke tempat kejadian untuk melakukan operasi memadam kebakaran.


“Apabila tiba, pasukan bomb mendapati bahagian tingkat bawah sebuah kedai sedang terbakar.

“Operasi diteruskan dengan membuka pintu premis dengan menggunakan ‘powersaw’ seterusnya membuat pemadaman sehingga api dipadam sepenuhnya,” katanya di sini hari ini.

Tambah Zaki, anggaran kemusnahan akibat kebakaran tersebut adalah kira-kira 60 peratus.

“Buat masa ini punca kebakaran sedang dalam siasatan.

“Operasi ditamatkan pada pukul 4.19 pagi,” jelasnya. -DayakDaily

Ends

Pic 1-2: Pasukan bomba sedang berusaha memadam kebakaran.