Oleh Chris Bishop
KUCHING, Mac 27: Kaedah perkhidmatan pengangkutan awam di Bandaraya Kuching akan diubah agar Kuching menjadi bandaraya mesra alam.
Menurut Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg, perlaksanaan itu dilakukan secara berperingkat mulai tahun ini.
“Bermula tahun ini kita ubah perkhidmatan pengangkutan awam di Bandaraya Kuching dan kita telah mulai dengan sebuah bas elektrik.
“Bas elektrik ini tidak mengeluarkan asap, perlahan-lahan kita ubah cara pengangkutan awam menggunakan teknologi terkini,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian di Majlis Perasmian Agenda Warisan Pintar Old Kuching di Tebingan Kuching malam ini.
Selain penggunaan bas elektrik tambah beliau, perkhidmatan pengangkutan awam di Kuching juga akan menggunakan bas hidrogen.
“Mungkin pada bulan Mei nanti, tiga buah bas hidrogen akan tiba di Kuching.
“Bas ini juga tidak mengeluarkan asap dan mesra alam. Akhirnya, suasana alam sekitar di Bandaraya Kuching akan mesra alam dan inilah hala tuju kita,”kata Abang Johari.
Untuk tujuan mengindahkan lagi Bandaraya Kuching, kerajaan negeri akan menaiktaraf tebingan sungai bermula dari Kampung Sungai Bedil ke Kampung Tanjung.
Tender untuk projek tersebut kata beliau sudah dibuka dan kontraktor akan memulakan kerja pada tahun ini.
“Bermakna kedua-dua tebingan sungai akan kita cantikkan dan dilengkapi dengan kemudahan terkini.
“Dengan itu, laluan Sungai Sarawak akan menjadi laluan sungai yang indah, mungkin terindah di Malaysia.
“Peruntukkan untuk kerja ini kita sediakan kerana kita inginkan Bandaraya Kuching menjadi bandaraya mesra alam,”tambah beliau.
Agenda Warisan Pintar Old Kuching anjuran Dewan Bandaraya Kuching Utara(DBKU) berlangsung selama tujuh hari bermula pada Mac 25 hingga 31.
Turut hadir, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Prof. Dr Sim Kui Huan, Setiausaha Kerajaan Negeri Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani dan Datuk Bandar Kuching Utara, Datuk Abang Abdul Wahap Abang Julai. — DayakDaily