Balai Polis Song, Julau dan Matu Daro dibaik pulih segera – Nanta

Nanta ketika ditemui di IPK Sarawak hari ini (12 Dis 2022).

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 12 Dis: Balai Polis Song, Julau dan Matu Daro diberi perhatian serius untuk dibaik pulih dengan kadar segera, kata Menteri Kerja Raya Dato Sri Alexander Nanta Linggi.

Menurut beliau, ia adalah sebagai permulaan memandangkan hampir semua balai-balai polis di Negeri ini perlu dibaik pulih.


“Kita beri tumpuan kepada tiga balai ini dahulu, iaitu Balai Polis Song, Julau dan Matu Daro.

“Struktur bangunan balai-balai polis ini sudah usang, dan seperti di Daro selalu dilanda banjir.

“Memang tidak sesuai lagi untuk anggota-anggota polis kita beroperasi,” katanya ketika ditemui pada lawatan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sarawak di sini, hari ini.

Lawatan bertujuan untuk mendapatkan gambaran sebenar berhubung keperluan mendesak kontinjen Sarawak khususnya dari sudut infrastruktur.

Tambah Nanta, pihaknya (Jabatan Kerja Raya) memang ada pelan jangka panjang untuk menaik taraf kemudahan di setiap balai polis.

Berhubung kemudahan perumahan bagi anggota, beliau berharap pihak polis dapat menyediakan maklumat.

Hadir sama Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mohd Azman Ahmad Sapri. — DayakDaily