Bajet Sarawak 2024: Sebanyak 17 projek rumah mampu milik dengan kos RM105 juta, pinjaman rumah panjang diteruskan

File photo for illustration purposes only.

Oleh Chris Bishop

KUCHING, 20 Nov: Sarawak menerusi Bajet 2024 akan melaksanakan 17 projek perumahan mampu milik dengan peruntukan keseluruhan RM105 juta.

Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam pembentangan bajet di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini berkata, projek secara keseluruhan melibatkan sebanyak 1,481 unit rumah.


“Projek Perumahan mampu milik ini akan dilaksanakan di Kuching, Limbang, Miri, Betong, Mukah dan Sarikei.

“Ia akan mengguna pakai kaedah ‘Industrial Building System’ bagi mempercepatkan pembinaannya,” kata Abang Johari.

Selain rumah mampu milik, tambah beliau, kerajaan juga menyediakan kemudahan pinjaman bagi membantu rakyat khususnya golongan miskin dan B40.

Bagi tujuan tersebut, jelas Abang Johari, sejumlah RM122 juta telah diperuntuklan kepada Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd bagi memudahkan pembiayaan perumahan.

Dalam ucapan yang sama, Abang Johari memaklumkan sejumlah RM50 juta diperuntukkan menerusi Bajet 2024 bagi meneruskan Skim Pinjaman Rumah Panjang.

“Menerusi skim pinjaman rumah panjang pada 2023, sebanyak 78 rumah panjang yang melibatkan 1,698 pintu rumah mendapat manfaat,” katanya.

Sementara itu beliau turut mengumumkan peruntukan RM166 juta menerusi Bajet 2024 bagi meneruskan Skim Penempatan Semula (SPS) dan Skim Pembesaran Kampung (SPK).

Kata Abang Johari, dalam Rancangan Malaysia Ke-12 dan peruntukan Projek Rakyat, sebanyak 65 projek SPS/SPK yang baharu telah diluluskan.

Menurut beliau, ia menyediakan 7,035 lot rumah dengan anggaran kos RM1,134 juta.

“Daripada jumlah 65 projek ini, 12 sudah siap dan baki 53 projek diteruskan hingga penghujung tahun 2025,” kata Abang Johari. — DayakDaily